Foden gembira kemudi jentera tengah

Foden (dua, kanan), merembat ke pintu gol Brighton. - Foto Reuters
Foden (dua, kanan), merembat ke pintu gol Brighton. - Foto Reuters
A
A
A

BINTANG Manchester City, Phil Foden mengakui gembira dengan peranan baharunya selaku pemain tengah dan berharap situasi berkenaan bakal membantunya melakar lebih banyak kejayaan bersama skuad The Citizens itu.

Menurut pemain berusia 21 tahun itu, dia gembira beraksi di posisi berkenaan kerana berpeluang untuk turun ke bawah bagi memenangi bola dan kemudian melorongkannya kepada rakan-rakan di jentera serangan.

“Saya benar-benar sukakan posisi baharu ini. Saya boleh mengejar dan memenangi semula bola. Walaupun masih baru di posisi ini tetapi saya benar-benar gembira dengannya.

“Bagaimanapun, posisi ini memang akan sentiasa berubah dari semasa ke semasa kerana adakalanya, saya akan berada lebih jauh di hadapan dan adakalanya turun ke bawah dan berdepan satu sama satu dengan jentera serangan lawan,” katanya.

Foden membuktikan keserasiannya di posisi berkenaan dengan membantu mengemudi bahagian tengah City ketika menewaskan Brighton 4-1, di Stadium Palmer, pada Ahad..

Pada perlawanan berkenaan, Foden turut menjaringkan dua gol pada minit ke-28 dan min-31 dan sekali gus menjadikannya penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL), setakat ini dengan tiga gol.

Dua lagi gol dijaringkan Ilkay Gundogan pada minit ke-13 dan Riyad Mahrez pada masa kecederaan manakala Alexis Mac Allister menjaringkan gol saguhati buat Brighton pada minit ke-81.

Kemenangan itu menyaksikan City mengukuhkan kedudukan di tangga kedua EPL dengan 20 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pengendali City, Pep Guardiola gembira dengan perkembangan berkenaan dan berharap Foden dapat membantu skuad kendaliannya itu untuk mencatatkan lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Foden adalah pemain yang boleh beraksi di beberapa posisi berbeza. Dia boleh beraksi di kedua-dua sayap, penyerang dan kini sebagai pemain tengah.

“Dia ternyata memiliki kualiti tersendiri dan saya harap ia berterusan dan sekali gus meningkatkan mutu permainannya pada masa hadapan, ” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!