PRN Melaka: Pertembungan BN, PN untungkan PH
KOTA BHARU - Pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini dilihat akan memberikan keuntungan kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya ia benar-benar terjadi.
Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, pihaknya amat berharap pertembungan itu tidak akan berlaku kerana ia memberikan kesan yang tidak baik pada masa hadapan.
"Kami amat berharap BN dan PN dapat duduk semeja untuk mencari titik persamaan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang merugikan kedua-dua belah pihak.
"Pas selari dengan kenyataan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk mempertahankan Muafakat Nasional dan memperkukuhkan PN," katanya selepas diminta mengulas isu PRN Melaka di sini pada Ahad.
Menurut beliau, jika ada pertembungan tiga penjuru nanti, Pas sedia berkorban untuk mengelakkan situasi itu berlaku.
Bagaimanapun ujarnya, beberapa kerusi perlu juga diberikan kepada Pas.
Mohamad Kamal berkata, Pemuda Pas Kelantan tetap dengan harapan untuk melihat pertembungan dua penjuru sahaja pada PRN Melaka itu nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!