Perkim beri bimbingan saudara baharu
PEGAWAI Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, rata-rata 60 hingga 70 peratus saudara baharu yang memeluk Islam adalah disebabkan perkahwinan.
"Selain itu, ada juga yang nekad masuk Islam atas kesedaran sendiri, faktor pengaruh rakan, dengar azan, mimpi membaca al-Quran dan sebagainya. Ada juga sebab hendak mendapatkan bantuan," katanya.
Untuk saudara baharu, Muhammad Farhan memberitahu, pihak Perkim turut menyediakan tiga bentuk bantuan kepada mereka yang meliputi bantuan kecemasan, bantuan khas serta pendidikan.
"Bantuan kecemasan dan khas itu melibatkan bantuan kewangan yang diberikan kepada mualaf tertentu mengikut syarat yang Perkim tetapkan.
"Untuk bantuan pendidikan, kita adakan kelas fardu ain kepada mualaf setiap hari mengikut jadual ditetapkan. Ada juga mereka yang mahu mendalami Islam tetapi belum memeluk agama ini mengikuti kelas ini. Orang Islam sendiri juga ada yang mengikuti kelas ini," katanya sambil menjelaskan seramai 90 peserta mengikuti kelas di Perkim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!