Sidang kemuncak ASEAN bakal curi tumpuan komuniti antarabangsa

Sidang Kemuncak Asean ke-39 yang akan diadakan secara maya pada 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menumpukan agenda mengenai pandemik Covid-19. - Foto 123RF
Sidang Kemuncak Asean ke-39 yang akan diadakan secara maya pada 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menumpukan agenda mengenai pandemik Covid-19. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang dan mesyuarat ASEAN sebelum ini dianggap pertemuan biasa yang tiada sengat dengan keputusan perbincangan sudah dapat diramal.

Namun, baru-baru ini keputusan yang diambil menteri-menteri luar ASEAN untuk mengecualikan junta Myanmar daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan membuka tirainya pada Selasa, mungkin telah mengubah sedikit sebanyak persepsi terhadap blok 10 negara itu.

Malah, bukan itu sahaja, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, semasa dialog serantau mengenai Myanmar baru-baru ini, mencadangkan sesuatu yang luar biasa berhubung prinsip ASEAN.

Saifuddin mahu semua pihak berkepentingan menyelami keadaan bagi memungkinkan blok serantau itu berganjak daripada prinsip tidak campur tangan, ke arah "penglibatan konstruktif" atau "non-indifference”.

Keputusan blok itu dan kenyataan berani menteri luar Malaysia memperlihatkan bahawa ia bukan lagi urusan seperti biasa untuk pertubuhan serantau berkenaan. Sebarang perubahan terhadap asas utama pertubuhan itu bertepatan pada masanya kerana masyarakat antarabangsa sentiasa memantau rapat cara ASEAN menangani isu membabitkan anggotanya.

Justeru, Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 yang akan diadakan secara maya pada 26-28 Oktober tanpa kehadiran Myanmar - akan menjadi tumpuan pemerhati antarabangsa, terutamanya sama ada kumpulan itu mampu terus menjadi pengubah keadaan atau berpegang teguh pada status quo.

Pensyarah Kanan Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya (UM), Dr Rahul Mishra berkata, keputusan untuk mengecualikan junta penting memandangkan kumpulan serantau itu agak ragu-ragu untuk memberi tekanan kepada junta untuk memulihkan demokrasi di Myanmar.

"Kejayaan mengenai isu di Myanmar akan membuktikan kerelevanan dan keberkesanan ASEAN dalam menangani isu serantau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mishra berharap dengan mengecualikan junta, para pemimpin ASEAN akan memanfaatkan sepenuhnya sidang kemuncak itu bagi menyampaikan mesej jelas kepada junta untuk memulihkan segera demokrasi di Myanmar.

"Mungkin, rakan dialog ASEAN juga boleh beri tekanan diplomatik pada junta Myanmar," katanya.

Myanmar dikecualikan berikutan kurangnya kemajuan dalam Konsensus Lima Perkara yang disepakati ASEAN April lepas, antara lain untuk membantu menyelesaikan isu yang dihadapi negara itu, selepas kerajaan yang dipilih pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan tentera. Junta menolak keputusan itu.

Menteri-menteri luar ASEAN juga memutuskan hanya mempelawa wakil bukan politik dari negara itu selain menolak permintaan kerajaan bayangan Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Bagaimanapun, Myanmar bukan satu-satunya masalah yang perlu ditangani oleh pemimpin blok yang wujud sejak 54 tahun lepas. Malah, agenda kerjasama Covid-19 dan pemulihan pasca wabak serta isu Laut China Selatan turut perlu menjadi keutamaan.

Perjanjian keselamatan tiga pihak yang diumumkan baru-baru ini, melibatkan Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AUKUS) yang merangkumi Laut China Selatan turut menarik perhatian pemimpin ASEAN.

Pengecualian junta daripada menghadiri sidang kemuncak juga menimbulkan persoalan bagaimana ASEAN akan menangani isu Rohingya.

Sidang kemuncak itu bakal menyaksikan kemunculan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menerajui kerajaan pada 21 Ogos.

Brunei bertindak sebagai pengerusi sidang kemuncak bertemakan “We Care, We Prepare, We Prosper" itu dan ini merupakan tahun kedua sidang kemuncak tahunan berkenaan diadakan menerusi persidangan video disebabkan pandemik Covid-19.

Pemimpin ASEAN turut akan menyertai mesyuarat dengan pemimpin Rakan Dialog ASEAN - China, Jepun, Korea Selatan, India, Amerika Syarikat, Australia dan Rusia.

ASEAN terdiri 10 anggota - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Ditubuhkan pada 1967, ASEAN setakat ini telah menjalin kerjasama dialog dengan Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Rusia, Amerika Syarikat dan UK. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!