SelVAX Remaja sasar 10,000 remaja terima vaksin
PELABUHAN KLANG - Sekurang-kurangnya 10,000 remaja di Selangor disasar menerima vaksin Covid-19 di bawah program Vaksin Selangor (SelVAX) Remaja bermula pada Ahad.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini lebih 3,000 individu berusia 12 hingga 17 tahun sudah dikenal pasti termasuk remaja yang tidak berada dalam senarai pangkalan data.
Menurutnya, remaja ini mungkin tercicir daripada pangkalan data sebab penumpuan diberikan kepada mereka yang menyambung pendidikan bukan yang tidak bersekolah.
"Ini kelompok yang kita jangka boleh kita gapai dengan program-program SelVAX Remaja yang kita atur di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
“Sambutan hari pertama program ini agak menggalakkan, sekiranya berterusan kita mungkin boleh dapat sekurang-kurangnya 10,000 remaja dan kita fokus remaja yang tidak dapat janji temu di bawah PICK Remaja," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Amirudin berkata, sebagaimana SelVAX Komuniti dan SelVAX Industri, SelVAX Remaja juga berperanan untuk melengkapi dengan mempercepatkan kelompok yang mungkin agak lewat penerimaannya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua ditemui selepas meninjau hari pertama program SelVAX Remaja di Dewan Serbanguna Pandamaran Jaya di sini.
Hadir sama, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah dan ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.
Program Selvax Remaja bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan akan diperluas ke beberapa kawasan DUN antaranya Pandamaran, Bukit Lanjan dan Tanjung Sepat
Pada 7 Oktober Amirudin mengumumkan SelVAX diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pada Jun, kerajaan negeri Selangor melancarkan SelVAX Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!