Belanjawan Kelantan 2022 dibentang 2 Disember
KOTA BHARU - Belanjawan Kelantan 2022 dijangka dibentangkan pada 2 Disember ini, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub.
Beliau berkata, ketetapan tarikh pembentangan belanjawan itu telah diangkat kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada minggu lepas, bagi mendapatkan perkenan baginda.
Menurut beliau belanjawan berkenaan akan dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
"Selepas hari pembentangan (2 Disember), sidang DUN Kelantan akan bersambung semula pada 5 hingga 7 Disember dengan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan membahaskan mengenai belanjawan tersebut," katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini pada Ahad.
Ditanya mengenai tarikh pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 peringkat Kelantan, Abdullah berkata, perkara itu belum ditetapkan buat masa ini memandangkan laporan berkenaan perlu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ia dibentangkan.
Kali terakhir Persidangan DUN Kelantan diadakan adalah pada 23 hingga 25 Ogos lepas dengan dihadiri kesemua 44 ADUN yang mengamalkan normal baharu bagi membendung penularan wabak Covid-19. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!