Tuchel puji impak Mount

Tuchel (kiri) mengucapkan tahniah kepada Mount selepas perlawanan menentang Norwich City di Stamford Bridge, London. Foto: AFP
Tuchel (kiri) mengucapkan tahniah kepada Mount selepas perlawanan menentang Norwich City di Stamford Bridge, London. Foto: AFP
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel memuji karakter dipamerkan pemain tengah, Mason Mount yang meledak hatrik ketika membantu The Blues mengatasi Norwich City 7-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Stamford Bridge.

Malah bekas pengendali Borussia Dortmund dan Paris Saint Germain (PSG) itu mengakui gaya permainan tonggak England itu mempengaruhi corak persembahan The Blues pada perlawanan tersebut.

“Chelsea dalam setiap perlawanan kebiasaannya akan menggunakan khidmat tiga penyerang dan Mount merupakan antara mengisi posisi tersebut.

“Anda mungkin akan memberikan penilaian antara lapan ke 10, disebabkan dia bukan merupakan penyerang tulen. Namun pada suatu ketika peranannya amat diperlukan seperti yang dibuktikan pada perlawanan ini.

“Impak Mount seperti dalam perlawanan ini jarang berlaku, ini antara penyebab kami begitu memerlukan sentuhan penyudahnya. Sejujurnya, para pemain selesa dengan tidak hanya cara tetapi gaya permainannya setiap kali beraksi di padang,” ujar Tuchel.

Untuk rekod, The Blues melayan kunjungan Norwich City tanpa khidmat dua peledak utama Romelu Lukaku dan Timo Werner yang mengalami kecederaan ketika berdepan Malmo dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, baru-baru ini.

Mount merupakan antara penyumbang gol yang memastikan tiga mata buat pendahulu liga tersebut meneruskan cengkaman mengatasi penyandang juara Manchester City dengan 22 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.

The Blues membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi jaringan Mount sebelum Callum Hudson-Odoi menggandakan kedudukan berselang 10 minit kemudian diikuti gol ketiga Reece James pada minit ke-42.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua, Chelsea menambah lagi jaringan menerusi Ben Chilwell yang meledak gol keempat pada minit ke-57 sebelum pemain pertahanan Norwich, Max Aarons menjaringkan gol sendiri lima minit kemudian sebelum Mount menambah dua lagi gol minit ke-85' dan 91' untuk memastikan Chelsea meraih kemenangan besar.

Sementara itu, Mount menegaskan bahawa dia teruja dapat membuktikan sesuatu dalam perlawanan yang turut disaksikan pengendali England, Gareth Southgate.

“Saya diberitahu bahawa dia (Southgate) menyaksikan perlawanan ini, dan sejujurnya ia merupakan hari yang tepat pada masanya apabila ia merupakan gol pertama selain bantuan gol untuk pasukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!