'Rezeki' nota misteri di kereta
UNGKAPAN tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima dan jika mahu bersedekah tiada yang tahu adakah masih relevan ketika ini.
Namun itulah pengalaman dialami oleh seorang pegawai khidmat pelanggan turut dikongsi di laman Facebook Nur Aqeela Yang Tabah sehingga tular mengenai sedekah diterima daripada individu yang tidak dikenali.
Menceritakan kejadian itu, pemilik nama sebenar Nur Aqeela Mohamed Ridzuan, 27, berkata, dia menggigil apabila membaca 'nota misteri' dan lebih terkejut apabila diselitkan juga wang tunai sebanyak RM150 bersama nota tersebut supaya dia menghidupkan cukai jalan kereta miliknya.
Aqeela berkata, dia berasa takut untuk membuka nota misteri itu yang diletakkan di dalam sampul merah lutsinar dan diselitkan di bawah pengelap cermin kereta kerana khuatir mungkin ada berniat tidak baik terhadapnya, termasuk khianat atau sihir kerana keadaan sekarang ini macam-macam boleh berlaku.
"Jadi, saya terus berikan sampul itu kepada kawan saya yang kebetulan berada di kawasan parkir sama dan meminta dia sahaja membaca nota itu," katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Perkongsian tersebut menarik perhatian netizen dan juga tular di beberapa blog dan portal tanah air sejak Isnin lalu.
Kata wanita yang menetap di Persint 9, Putrajaya ini, sangkaannya salah apabila dan tidak menyangka ketika ini masih ada insan berhati mulia sanggup mendermakan wang sebanyak itu kepadanya walaupun tidak mengenalinya.
Cerita Nur Aqeela lagi, dia sebenarnya sudah lama tidak memandu kereta tersebut kerana sejak rosak pada Disember lalu serta cukai jalan yang sudah tamat tempoh pada 19 Januari 2019.
Cuma katanya, sebelum pergi kerja dan balik dari kerja dia akan memanaskan enjin kereta itu, namun kali terakhir dilakukannya kira-kira 11 hari sebelum nota tersebut dijumpai.
Melalui nota tersebut juga, pemberi misteri itu dikatakan mengenali Nur Aqeela kerana mengakui sering melihat wanita itu berjalan dengan seorang lagi rakan.
"Hai, maaf ganggu ye!Jangan pelik ada duit dalam ini. saya tidak tahu siapa pemilik kereta antara kalian berdua.
"Antara dua, sebab selalu tengok berdua je (tidak selalu pun). Anggap ini amal jariah saya," tulis pemberi misteri tersebut.
Malah apa yang lebih menarik perhatian, pemberian itu merupakan dari pemberi misteri dan juga rakan-rakannya.
"Saya tengok road tax (cukai jalan ) kereta belum renew (perbaharui) lagi. Harapnya duit ini boleh support (tampung) serba sedikit kos," tulisnya.
Jelas Nur Aqeela, dia masih tercari-cari gerangan individu tersebut kerana ingin mengucapkan terima kasih dan diharapkan juga melalui perkongsian cerita ini dapat membantunya berjumpa dengan individu berhati mulia itu.
Katanya, jumlah yang disedekahkan itu terlalu besar, bagaimanapun dia akan melunaskan amanah individu itu yang mahu dia menggunakan wang tersebut untuk memperbaharui cukai jalan kenderaannya.
Dalam pada itu, dia turut melahirkan rasa terkilannya apabila ada dikalangan netizen mendakwa dia sengaja mereka cerita kerana turut meninggalkan nota untuk pemberi misteri apabila menggunakan kertas yang sama dengan pemberi misteri.
"Dalam sampul surat itu, ada dua keping kertas yang dilukis 'emoji' senyum bersama sekeping nota misteri.
"Ketika itu sudah hampir waktu Maghrib, saya tiada kertas lain untuk membalas nota tersebut. Sebab itu, saya gunakan kertas yang ada emoji itu untuk tulis nota bagi tujuan mengucapkan terima kasih," katanya.
Selain itu, kongsinya, dia juga gemar bersedekah, malah setiap bulan turut memperuntukkan sebahagian gajinya untuk menderma kepada mereka yang memerlukan.
"Kalau terbaca di laman sosial berkaitan orang meminta derma atau sumbangan, InsyaAllah, saya hulurkan ikut kemampuan kerana itu yang diajar oleh mama dan adik-beradik lain," tulis
Mungkin itulah ganjaran yang diterima oleh Nur Aqeela atas keprihatinannya itu selama ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!