Terengganu sasar 50,000 pengunjung ke TCF 2021
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan kehadiran seramai 50,000 pengunjung ke Festival Kebudayaan Terengganu 2021 (TCF 2021) dalam tempoh 10 hari program itu diadakan sehingga 30 Oktober ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran TCF 2021 kali kedua itu diadakan secara normal baharu di lima lokasi terpilih dengan setiap tempat mengetengahkan tema tertentu.
Menurut beliau, lima lokasi tersebut adalah Kampung Budaya Terengganu, Kuala Terengganu City Center (KTCC) Mall, Taman Tamadun Islam (TTI), Duyung Marina Resort dan Paya Bunga Square & Hotel.
"Selain bertujuan memulihara dan memelihara khazanah seni budaya negeri, program ini juga merupakan platform bagi mempromosikan kebudayaan Terengganu sebagai salah satu daripada tarikan utama kepada pengunjung yang datang ke negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program TCF 2021 dan Pelancaran Video Travelog 20 Pakej Tiga Hari Dua Malam Beautiful Terengganu di Paya Bunga Hotel, di sini pada Ahad.
Jelas Ariffin, pelancaran video travelog tersebut merangkumi 20 cadangan pakej perjalanan ke pelbagai destinasi menarik yang ada di setiap daerah kepada pelancong yang ingin berkunjung ke Terengganu.
Menurut beliau, ia sebagai inisiatif kerajaan negeri dalam mempromosikan destinasi pelancongan dengan kolaborasi pelbagai pihak termasuk pejabat daerah, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan sebagai usaha menyemarakkan kembali sektor pelancongan negeri.
"Pakej tiga hari dua malam ini dapat ditempah melalui agensi pelancongan dan hotel.
"Pengunjung juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti lengkap dua dos vaksin, mengimbas MySejahtera, sentiasa memakai pelitup muka dan amalkan penjarakkan fizikal bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!