Utamakan dos penggalak kepada golongan berisiko: Amirudin
PELABUHAN KLANG - Penerima vaksin jenis Sinovac di bawah program Vaksin Selangor (SelVAX) boleh mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun pemberian dos penggalak itu perlu diutamakan kepada golongan rentan, warga emas dan petugas barisan hadapan yang berdepan risiko jangkitan wabak.
Menurutnya, kesan sampingan mungkin membabitkan kelompok awal penerima vaksin tetapi data di luar negara menunjukkan keberkesanannya mampu mencapai sehingga 87 peratus dan penggunaannya turut disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mereka yang ingin dos penggalak boleh mendapatkannya secara percuma di program suntikan yang dilaksanakan kerajaan Pusat kerana setiap vaksin mempunyai selang waktu sehingga enam bulan sebelum keberkesanannya berkurang.
“KKM memutuskan untuk beri kepada penerima Sinovac, tetapi bagi saya lebih baik suntik golongan rentan, warga emas, doktor dan barisan hadapan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua ditemui selepas membuat tinjauan di program SelVAX Remaja yang dilaksanakan di Dewan Serbanguna Pandamaran Jaya, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah dan ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.
Program SelVAX Remaja bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan akan diperluas ke beberapa kawasan DUN antaranya Pandamaran, Bukit Lanjan dan Tanjung Sepat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!