Titi Hayun tidak selamat dikunjungi
YAN - Perubahan struktur tanah di tiga lokasi peranginan di Yan termasuk Titi Hayun, Batu Hampar dan Seri Perigi menyebabkan ia tidak selamat dikunjungi.
Exco Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga dan Kerja Raya, Datuk Suraya Yaacob berkata, kejadian kepala air pada 18 Ogos dan banjir kilat 20 Oktober lalu yang melanda kawasan terbabit telah memberi kesan terhadap struktur tanah dan aliran sungai.
Menurutnya, fenomena terbabit juga menyebabkan kerosakan akibat runtuhan tanah dan kemusnahan alam selain berisiko atas faktor keselamatan.
"Saya kira dengan keadaan ini, kita tidak benarkan sesiapa pun masuk ke kawasan ini, ia agak membimbangkan kerana banyak struktur yang tidak selamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau lokasi tragedi kepala air dan banjir kilat di Titi Hayun pada Ahad.
Sementara itu, penduduk, Marzuki Awang, 68, dari Kampung Dusun Manggis berkata, kejadian kepala air pada Rabu menyebabkan banyak laluan sungai berubah termasuk air turun melalui jalan tar.
"Saya nampak ada ibu bapa yang membawa anak-anak mandi di atas dataran Titi Hayun yang dah jadi laluan air.
"Kami penduduk kampung semuanya bimbang kepala air akan datang lagi, apabila nampak putih (hujan) di Gunung Jerai, semua sudah tidak tenteram," katanya.
Pemilik gerai, Farzan Hamid, 60, berkata, dia tidak menyangka kejadian banjir kilat berlaku sekali lagi seolah-olah kepala air kedua.
"Memang tak sangka sebab kepala air baru berlaku, terkejut jugaklah, habis barangan dan peralatan gerai makan hanyut, namun kami reda dengan kejadian ini," katanya.
Jelasnya, sekiranya kerajaan menetapkan bahawa struktur tanah di kawasan peranginan terbabit tidak selamat, penduduk dan pengunjung harus akur dengan keadaan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!