Bomba Bukit Gambir siap siaga
TANGKAK - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir terus siap siaga menghadapi cuaca panas.
Ketua balai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, ia termasuklah pengujian pelbagai peralatan bagi memadam kebakaran antaranya pam wajax yang berfungsi sebagai pancuran air di tanah pertanian.
Menurutnya, sejak Januari hingga Isnin lalu, BBP Bukit Gambir menerima sehingga 70 panggilan kecemasan yang mana 43 daripadanya adalah kes kebakaran.
Katanya, statistik meningkat apabila hanya 35 panggilan membabitkan kejadian kebakaran direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Selepas peralihan angin monsun, Jabatan Meteorologi menyatakan fenomena gelombang haba yang berlaku dengan jangkaan tempoh pada awal tahun sehingga bulan ini.
“Bagaimanapun, di daerah ini ia masih terkawal kerana Tangkak mencatatkan suhu persekitaran bawah 36 darjah celcius. Namun, cuaca bahang dan panas menyebabkan risiko kebakaran tetap tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, 43 kebakaran yang direkodkan membabitkan pelbagai kemusnahan iaitu kediaman, kenderaan dan juga tanah pertanian.
Katanya, kebanyakan kes kebakaran menjadi besar ekoran daripada tindakan individu yang tidak mengawal longgokan sampah.
“Sepatutnya, ketika cuaca panas seperti ini, mereka yang membakar sampah tidak seharusnya meninggalkan lokasi kerana ia mudah merebak khususnya jika tanah gambut.
“Selain itu, longgokan bahan bakar juga perlu diletakkan pada kedudukan jauh antara satu sama lain kerana risiko berlakunya alih angin mampu mengakibatkan kebakaran merebak dengan pantas,” katanya yang memaklumkan keadaan cuaca ketika ini adalah panas dan berangin.
Mohd Khairul berkata, bagi kejadian kebakaran spontan, hanya kurang daripada tiga kes sahaja direkodkan.
“Kebakaran spontan ini selalunya disebabkan daripada perbuatan orang ramai membuang sampah dan mendedahkan bahan buangan itu di bawah cahaya matahari.
“Sebagai contoh botol minuman mineral yang nipis dan mudah cair menyebabkan berlakunya tindak balas pembiasan cahaya yang menjadi haba selain kehadiran tiupan angin kuat menggalakkan kebakaran itu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairul meminta kerjasama orang ramai agar mengurangkan pembakaran sampah pada cuaca sebegini.
“Saya faham macam ada pemilik kebun yang terpaksa membakar bagi penanaman semula, namun nasihat saya adalah jangan tinggalkan lokasi kebakaran. Bagi penduduk, sebaiknya jadikan aktiviti pembakaran itu sebagai pilihan terakhir.
“Ada banyak lagi cara untuk menghapuskan sampah sarap iaitu menanam kembali bahan buangan itu kerana ia dijamin lebih selamat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!