Cegah amalan rasuah dalam limpahan belanjawan, RMK12
SHAH ALAM - Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan peruntukan RM400 bilion untuk pembangunan projek yang sedia ada dan baharu, mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan salah laku oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga bekas Presiden Transparency International Malaysia berkata, projek awam boleh menelan kos yang tinggi memandangkan kerajaan membelanjakan jumlah besar untuk projek-projek mega.
Itu membolehkan mereka yang terlibat dalam pemberian projek mengambil peluang menyalah guna kuasa mereka dan melakukan rasuah.
“Situasi menjadi lebih buruk apabila sesetengah projek mega diberikan menerusi rundingan terus dan tender terhad kepada kroni atau syarikat tertentu,” ujar Akhbar.
Jelasnya, jika dibiarkan, krisis semasa itu akan berkembang menjadi hal yang lebih buruk dan pada bila-bila masa saja skandal rasuah seterusnya boleh tercetus.
Akta salah laku
Menurut Akhbar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencadangkan akta yang dikenali sebagai Akta Salah Laku Dalam Perkhidmatan Awam bagi menghukum penjawat awam yang menyebabkan kerugian dana awam akibat kecuaian dan tindakan tidak beretika di jabatan kerajaan masing-masing, dengan pertuduhan sebagai kes jenayah.
Tambahnya, undang-undang di bawah akta tersebut akan bertindak sebagai pencegah dan senjata utama bagi mereka yang berniat mahu menyalahgunakan kuasa.
"Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM menyatakan bahawa kes rasuah yang mengakibatkan kebocoran dan pembaziran perolehan kerajaan melibatkan penjawat awam (pimpinan atasan) dilihat semakin kritikal dan mendahului senarai kerugian kewangan yang ketara.
"Kira-kira 50 peratus kes tersebut melibatkan agensi kerajaan yang membuat keputusan, berpunca dari penyalahgunaan kuasa dan manipulasi proses perolehan dan penipuan,” katanya.
Akhbar berkata, di bawah undang-undang semasa, penjawat awam yang terlepas daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah kerana bukti yang tidak mencukupi atau isu teknikal lain, hanya menghadapi tindakan dalaman atau tatatertib.
"SPRM berpendapat, tanpa undang-undang khusus, ia mungkin menjadi lompong kepada pesalah, dilepaskan dengan hanya dikenakan tindakan tatatertib," kata beliau.
Projek sakit
Akhbar yang juga salah seorang Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menambah, kewujudan ‘projek sakit’ yang gagal disiapkan, yang kebanyakannya diberikan melalui rundingan terus yang bukan sahaja melemahkan aspirasi kerajaan dan rakyat malah menyebabkan kos projek meningkat.
"Kontrak harus diberikan kepada kontraktor dengan bukti kebolehpercayaan, kemampuan, tanggungjawab, dan rekod prestasi baik dari segi teknikal dan kewangan.
Dalam soal tadbir urus yang baik, semakan sewajarnya ke atas harga kontrak wajar dibuat terhadap kontraktor sebelum penganugerahan kontrak memandangkan sekarang ini mendapatkan maklumat menerusi internet begitu mudah terutamanya tentang harga pasaran,” terangnya.
Ujarnya, terdapat cadangan agar Akta Salah Laku Dalam Perkhidmatan Awam harus merangkumi menteri dan ahli politik, memandangkan mereka juga bertanggungjawab dalam keputusan muktamad berkaitan pemberian kontrak kementerian.
Menurut Akhbar lagi dalam kenyataannya, Jabatan Audit Negara harus diberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas projek-projek besar kerajaan apabila terdapat tanda 'bendera merah' bahawa syarikat itu terlibat dalam tuntutan palsu atau aktiviti penipuan.
"Sesuatu perkara yang difikirkan, selepas Rancangan Malaysia Ke-11 yang merangkumi 55 tahun, kenapa kita masih perlu membina banyak projek fizikal?
"Kita tidak perlukan projek mega yang akan membuka ruang lebih banyak tender dan perolehan, yang menjadikan penjawat awam yang tidak beretika cenderung untuk menyalah guna kuasa atau memanipulasi melalui rundingan terus dan kronisme," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!