Mesyuarat UMNO Cawangan Klebang Kechil ditangguh

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Mesyuarat UMNO Cawangan Klebang Kechil yang dijadualkan pada Ahad terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian, demikian menurut Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Beliau mendakwa, ia susulan terdapat insiden kekecohan yang berlaku sebelum mesyuarat yang dijadual berlangsung jam 11 pagi Ahad itu bermula, apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron muncul sebelum mesyuarat bermula.

“Sebagai Ketua Bahagian, saya kesal dan kekesalan saya (itu) kerana saya merasakan dia (Idris) tidak faham atau tidak mengerti prinsip sebagai orang yang mengetuai sesuatu parti,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Idris bersama bekas ADUN Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan telah dipecat keahlian dalam UMNO selepas bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang seterusnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas.

Dua lagi bekas ADUN yang bersama mereka menarik sokongan adalah Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!