Anna, Mei Xing cipta sejarah tersendiri di Terbuka Czech

Anna Cheong-Mei Xing. - Foto Badminton Association of Malaysia - BAM
Anna Cheong-Mei Xing. - Foto Badminton Association of Malaysia - BAM
A
A
A

PASANGAN beregu wanita negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing memenangi gelaran sulung siri antarabangsa pertama apabila memenangi Terbuka Czech pada Ahad.

Pasangan itu yang buat pertama kalinya bermain bersama, menunjukkan prestasi terbaik mereka apabila mengalahkan pasangan Indonesia Febby Valencia Dwijayanti Gani-Jesita Putri Miantoro 21-15, 16-21, 21-17 pada perlawanan akhir di Vodova Hall, Brno.

Anna-Mei Xing layak ke perlawanan akhir selepas mengalahkan pasangan Rusia, Anastasiia Boiarun-Alena Iakovleva 21-5, 21-14 pada peringkat separuh akhir.

Sebelum ini, Anna berpasangan bersama Yap Cheng Wen dan menduduki tempat kedua Terbuka Austria, manakala Mei Xing telah berpasangan dengan Yap Ling sehingga di Piala Uber baru-baru ini.

Sementara itu, Malaysia yang seharusnya boleh memenangi tiga lagi gelaran di kejohanan itu selepas mempunyai wakil pada perlawanan akhir iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu lelaki, gagal berbuat demikian selepas mereka gagal mengatasi lawan masing-masing.

Acara perseorangan lelaki, Ng Tze Yong yang beraksi cemerlang pada Piala Thomas di Aarhus baru-baru ini gagal memenangi gelaran hari ini selepas tewas kepada pemain tuan rumah Jan Louda selepas perlawanan selama satu jam 24 minit.

Pemain berusia 21 tahun yang memenangi Terbuka Poland pada Mac bermula dengan baik dengan memenangi set pertama 21-16, namun tewas dua set berikutnya 16-21, 25-27.

Usaha Siti Nurshuhaini Azman memenangi gelaran juga gagal, selepas pemain berusia 17 tahun itu tewas 16-21, 5-21 kepada Putri Kusuma Wardani dari Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Juara Cabaran Antarabangsa Sepanyol, pasangan Man Wei Chong-Kai Wun Tee juga tewas pada perlawanan akhir beregu lelaki.

Pasangan itu tewas 21-12,15-21,15-21 kepada pasangan Singapura Hee Yong Kai Terry-Loh Kean Hean. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!