Lega bapa angkat OKU sudah divaksin
PELABUHAN KLANG - Seorang lelaki lega dapat membawa bapa angkatnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, di sini pada Ahad.
Mohd Fauzi Ahmad, 41, berkata, detik itu pasti dikenang selamanya sekali gus berharap bapa angkatnya, Mohamad Yusoff, 61, terus sihat dan dilindungi daripada jangkitan virus Covid-19.
Menurutnya, bapa angkat yang dikenali lebih setahun lalu itu sebelum ini hidup sebatang kara.
“Bapa (angkat) telah bersetuju divaksin selepas diberitahu mengenai keperluannya dan dia juga faham tentang prosedur suntikan sebanyak dua kali. Saya bangga kerana dapat membawanya ke sini.
"Bapa tiada anak dan sebelum ini dijaga seorang anak angkatnya tetapi anak angkatnya itu menghilangkan diri, sebab itu saya berusaha uruskan agar bapa dapat divaksin,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Fauzi berkata, bapa angkatnya dibawa dari rumahnya di Kampung Jawa dengan menggunakan ambulans dan menjadi individu tunggal kategori OKU yang divaksin di pusat berkenaan.
"Walaupun kerajaan Selangor menerusi program SelVAX menyediakan perkhidmatan menyuntik vaksin kepada golongan itu di rumah namun saya mengambil keputusan untuk membawa sendiri bapa ke sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!