Kenyataan Azmin terhadap Zahid tidak benar

Azmin, Zahid
Azmin, Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan penolakan (kerjasama) yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini hanyalah suara peribadi pemimpin tersebut adalah tidak benar.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kenyataan Presiden UMNO adalah cerminan ketetapan perwakilan secara sebulat suara di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 28 Mac 2021 yang jelas tidak mahu sebarang kerjasama politik diadakan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihanraya akan datang.

Beliau berkata, kenyataan Mohamed Azmin seperti tidak menghormati hal ehwal dalaman dan semata mata melancarkan perang psikologi bagai ‘mencurah minyak atas bara api’ dan berusaha melaga-lagakan supaya dilihat berpecah belah.

“Asas penolakan akar umbi kepada Bersatu adalah jelas bahawa UMNO di semua peringkat tidak dapat menerima untuk bekerjasama dengan pihak yang mengkhianati perjuangan dan berterusan melakukan usaha untuk melemahkan parti yang sekian lama menjadi tunjang perjuangan umat Melayu Islam.


“Bagaimanapun Pergerakan Pemuda UMNO akan akur dengan sebarang keputusan parti jika ada sebarang perubahan dasar untuk mengadakan kerjasama politik dengan sesiapa sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Mohamed Azmin menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu membuat keputusan sama ada mahu bekerjasama dengan gabungan itu atau sebaliknya.

Azmin dilaporkan berkata, meskipun Ahmad Zahid sebelum ini menegaskan bahawa tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, namun akar umbi UMNO jelasnya mahukan sebaliknya.

Begitupun Syed Mohd Johan Rizal berkata, sebagaimana peruntukan Perlembagaan UMNO, sebarang ketetapan PAU hanya boleh dirombak dengan kembali semula kepada perwakilan untuk membuat keputusan baharu khususnya mengenai hubungan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihanraya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!