APR perkenal AAT sebar maklumat pilihan raya

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akademi Pilihan Raya (APR) memperkenalkan Program Pelatih Bersekutu APR (AAT) untuk menyampaikan maklumat pilihan raya secara meluas kepada belia seiring dengan pelaksanaan Undi18.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, menerusi program itu, APR dapat melatih lebih ramai belia menjadi penceramah dan jurulatih.

"Mereka yang dilatih ini akan bersama-sama APR menyampaikan maklumat tentang proses pilihan raya di Malaysia kepada pelajar sekolah dan golongan belia di institusi pendidikan di seluruh negara.

"Setakat hari ini, lebih kurang 273 peserta telah mengikuti latihan intensif oleh APR dan seterusnya dilantik sebagai AAT," katanya dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang meminta kerajaan menyatakan libat urus golongan belia dalam memperkasa APR selaras dengan pelaksanaan Undi18 bagi memastikan mereka memahami tanggungjawab dan seterusnya mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Mas Ermieyati menjelaskan, APR juga mengambil inisiatif melakukan perkongsian secara maya dalam media sosial bagi memberikan penerangan lebih mudah dan ringkas berkenaan proses pilihan raya.

Katanya, ia dilakukan melalui platform Facebook, Youtube, Twitter, Tiktok yang ketika ini menjadi trend kepada belia dan anak muda.

"Program pendidikan pengundi turut dilakukan yang bertujuan memberikan kefahaman terhadap proses pilihan raya dijalankan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga untuk mensiapsiagakan para belia agar menjadi warganegara lebih bertanggungjawab dengan melibatkan diri dalam proses pilihan raya," katanya.

Tambah beliau, antara pihak terlibat dalam program pendidikan itu adalah kementerian, agensi dan badan bukan kerajaan yang mempunyai kaitan dengan belia termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan Malayskaa (KKM) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!