Majoriti guru sudah divaksin

Hang Soon (tiga, kanan) ketika meninjau keadaan SK Pos Bersih, Slim River sempena lawatan kerjanya di sini pada Isnin.
Hang Soon (tiga, kanan) ketika meninjau keadaan SK Pos Bersih, Slim River sempena lawatan kerjanya di sini pada Isnin.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Majoriti guru di negara ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dan bersedia untuk pembukaan semula sekolah November depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, setakat Sabtu, sebanyak 97 peratus guru direkodkan telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan 400,678 guru di seluruh negara manakala 98.7 peratus iaitu 408,331 guru pula direkodkan menerima sekurang-kurangnya satu dos pertama.

"Daripada data diperoleh ini memang belum lengkap 100 peratus dan diakui ada kalangan guru yang masih belum divaksin namun bilangannya sangat kecil.

"Jadi saya galakkan semua guru-guru ini untuk menerima vaksin dalam waktu singkat ini (sebelum pembukaan sekolah) secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Pos Bersih di Slim River di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr Ahmad Rafee Che Kassim.

Dalam lawatan itu, Hang Soon mengumumkan cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membina sekolah menengah baharu di Kampung Sawa, Slim Village.

Katanya, pembinaan sekolah itu nanti dapat memberi manfaat kepada penduduk pedalaman khususnya dari kawasan Pos Bersih dan Pos Tenau memandangkan sekolah sedia ada terletak agak jauh iaitu kira-kira 24 kilometer.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan tapak sudah ada dan dipersetujui semua pihak termasuk tok batin di sini. Jadi kita akan cuba masukkan cadangan sekolah baharu ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk peringkat kelulusan.

"Kalau dapat sediakan sebuah sekolah dalam jarak 8 kilometer dari sini, sudah tentu ia dapat mudahkan murid ke sekolah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!