Ahmad Maslan desak SOP PRN Melaka disemak semula

Ahmad Maslan - Foto Bernama
Ahmad Maslan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mendesak kerajaan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan supaya sedikit kelonggaran dibenarkan ketika berkempen.

Ahmad berkata, sebagai ahli Parlimen yang menyokong kerajaan, beliau sendiri tidak dapat menerima SOP tersebut yang tidak membenarkan sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya dilakukan.

"Nak buat pilihan raya tetapi sebarang aktiviti mengenai pilihan raya tidak boleh dibuat. Penularan varian delta dijadikan alasan untuk SOP PRN Melaka dibuat," katanya mengkritik SOP berkenaan ketika perbahasan berhubung tujuh ordinan darurat dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad menetapkan, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, larangan tersebut ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, beliau mencari maklumat berkaitan varian Delta di laman web KKM.

"Dalam laman web itu disebut bahawa jangkitan varian delta dalam kalangan individu yang divaksin jarang berlaku dan jika dijangkiti, (kita) tidak akan mengalami gejala teruk dan mungkin tidak perlu ke hospital.

"Tapi ia dijadikan alasan untuk tidak boleh dilakukan sebarang aktiviti ketika PRN Melaka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau berkata, SOP berkenaan seharusnya diteliti semula agar aktiviti kempen secara kecil-kecilan dibenarkan.

Katanya, ia termasuk kempen dari rumah ke rumah, ceramah dan pertemuan dalam jumlah kecil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!