Dewan Negara lulus penubuhan tiga Jawatankuasa Pilihan Khas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Isnin meluluskan usul penubuhan tiga Jawatankuasa Pilihan Khas dalam usaha mentransformasikan Parlimen khususnya Dewan Negara.

Tiga Jawatankuasa Pilihan Khas itu ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat; Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus Integriti dan Antirasuah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-udang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika membentangkan usul itu berkata, terma rujukan bagi jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas itu hendaklah mengandungi tujuan penubuhan, keanggotaan melibatkan lima ahli termasuk pengerusi dan tempoh kuat kuasa jawatankuasa selama dua tahun atau dua penggal dari tarikh penubuhannya.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada Dewan Negara di bawah kepimpinan Tan Sri Dr Rais Yatim selaku Yang Dipertua Dewan Negara kerana telah pun mengambil langkah proaktif dalam mentransformasikan Parlimen khususnya bagi Dewan Negara ini melalui penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Dewan Negara.

"Justeru, pihak kerajaan menyokong penuh langkah ini melalui usul yang dikemukakan sebagaimana yang dilaporkan dalam Penyata Jawatankuasa Dewan Majlis Mesyuarat Dewan Negara yang telah pun dibentangkan di atas meja mesyuarat dewan ini sebagai kertas DN 1 Tahun 2021, ini adalah susulan kepada dua siri mesyuarat jawatankuasa dewan yang diadakan pada 23 Julai 2021 dan 30 September 2021," katanya.

Mas Ermieyati berkata, Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas itu berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan tentang apa-apa yang berkaitan dengan bidang tugas yang dinyatakan dalam terma rujukan jawatankuasa berkenaan serta tertakluk kepada peruntukan dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

"Laporan atau penyata yang dikeluarkan hasil siasatan oleh sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas hendaklah dibentangkan di dalam dewan. Penyata ini telah dibentangkan, boleh dicadang untuk dibahas, diterima dan dipersetujui Dewan Negara oleh Majlis melalui usul di bawah Peraturan Mesyuarat 78(5) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara," katanya.

Usul itu kemudian diterima dan dipersetujukan tanpa bahas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!