'Demi Allah, saya tidak akan khianati UMNO': Ku Nan
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengakui pernah dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) oleh kerajaan sebelum ini sekiranya bersedia lompat parti dan meninggalkan UMNO.
Bagaimanpun, Ahli Parlimen Putrajaya itu bertegas tidak berbuat demikian kerana lebih sayangkan parti dan tidak mahu dilabelkan sebagai pengkhianat.
“Saya telah diminta untuk memberikan sokongan kepada mereka lompat kepada parti mereka dan diberikan janji pelbagai jawatan sehinggakan jawatan penghabisan adalah sebagai TPM.
“Namun demi Allah, apa yang saya ada hari ini adalah kerana UMNO dan saya tidak akan mengkhianati parti saya.
“Walau apa pun terjadi, saya tidak akan mengikut apa yang dikehendaki mereka kerana saya amat yakin hanya UMNO yang akan menentukan masa depan orang Melayu, agama saya terjaga dan negara terpelihara dengan hala tuju yang benar,” katanya memetik portal umno-online.my di sini, hari ini.
Beliau mendedahkan perkara itu dalam ucapannya merasmikan Persidangan UMNO Cawangan Bunga Matahari di Putrajaya pada malam Ahad.
Dalam pada itu jelasnya, pihak pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya menggunakan pemimpin tertentu sebagai boneka untuk mendapatkan kuasa.
“Saya bukan beretorik. Renungkan selama lebih 60 tahun UMNO/BN menjadi teraju kerajaan maka apa yang rakyat telah lalui dan bandingkan dengan apa yang telah berlaku lebih dari tiga tahun dalam kerajaan-kerajaan baharu yang mentadbir sebelum ini.
“Bagaimana keadaan kita semua, ada banyak keluhan-keluhan kerana kestabilan politik yang tidak ada sehinggakan dalam masa tiga tahun ada tiga Perdana Menteri, malah hingga kini pun kita masih tidak ada kestabilan politik,” katanya.
Katanya, UMNO sendiri menyedari bahawa wakil rakyatnya berdepan dengan pelbagai tekanan sebelum ini.
“Oleh kerana kerakusan kerajaan yang baru menang ketika itu, mereka telah mengambil tindakan perundangan dan dituduh dengan pelbagai tuduhan politik dengan tujuan untuk melemahkan ahli-ahli UMNO itu sendiri.
“Ini kerana kemenangan mereka juga tidak begitu selesa maka mereka telah membuat pelbagai cara untuk mendapatkan sokongan dari para wakil rakyat UMNO untuk lompat menjadi ahli mereka," ujarnya.
Mahkamah Rayuan sebelum ini melepas dan membebaskan Tengku Adnan daripada tuduhan rasuah, sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta.
Hakim Datuk Suraya Othman dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin bersetuju bahawa keputusan yang dibuat berdasarkan keterangan Tan Sri Chai Kin Kong sebelum ini dan keterangan daripada pegawai siasatan SPRM, Saad Bordani yang mengesahkan sumbangan wang sumbangan tersebut adalah sumbangan politik. Sumber Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!