Melaka ‘pusat gempa’ krisis politik nasional UMNO

No Image Caption
A
A
A

LEWAT satu forum dalam talian baru-baru ini, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, kemelut politik di Melaka melibatkan UMNO, malah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini sebenarnya membayangkan krisis yang lebih besar dalam kalangan mereka di peringkat nasional.

Kata bekas ahli parlimen itu, ia seperti gempa bumi yang apabila berlaku, bermula dari ‘epicentre’ atau pusat gempa sebelum merebak ke tempat-tempat lain.

UMNO katanya, walaupun dilihat mempunyai dominasi politik dalam negara dengan menguasai banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), semakin kehilangan hala tuju jelas sehingga mengakibatkan berlaku perpecahan dalaman.

Kenyataan ahli politik berasal dari Melaka ini barangkali ada benarnya terutamanya jika kita mengambil konteks situasi parti Melayu itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018.

Berdepan kekalahan kali pertama dalam sejarah penubuhan parti berusia 75 tahun itu, UMNO walaupun pada hari ini kelihatan gagah di persada politik tanah air dengan memegang jawatan tertinggi pentadbiran negara di Putrajaya, hakikatnya luka parti itu pasca PRU-14 barangkali masih belum benar-benar sembuh.

Dalam keadaan belum benar-benar memulihkan kekuatan, UMNO berhasil menerajui semula kabinet hasil percaturan politik tahap tinggi lewat permuafakatan dengan Pas, menarik keluar Bersatu daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH), dan kerjasama dengan parti-parti di Sarawak dan Sabah.

Langkah Sheraton mungkin kejayaan terbesar UMNO, namun ia juga harus berterima kasih kepada kegagalan PH mengurus konflik melibatkan Mahathir dengan Anwar, ‘daulah terpendam’ dalam kerajaan PH sendiri yang saban waktu menghitung hari kejatuhan kerajaan itu, juga cita-cita besar Azmin memanjat anak-anak tangga politik dengan pantas.

Kekalahan barangkali cara terbaik bagi sesebuah parti untuk mengambil beberapa langkah ke belakang dan bermuhasabah, melihat semula kesilapan-kesilapan strategi yang mereka ambil sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

MP bukan MT, MT bukan MP

Antara yang dilihat kelemahan utama parti tertua ini adalah pengaruh ‘warlord’ atau panglima perang yang begitu lama menguasai parti sehingga ia sukar bergerak dan membuka pintu kepada idea-idea segar dan pembaharuan.

Bagi parti sebesar UMNO dengan lebih tiga juta keanggotaan dan lebih 20 ribu cawangan, mungkin masa yang lebih lama diperlukan untuk retrospeksi tersebut. Tempoh 22 bulan barangkali tidak cukup untuk membaiki kerosakan bertahun-tahun.

Namun dalam dinamika politik yang bergerak begitu pantas pada hari ini, mereka tidak dapat menunggu sebegitu lama untuk berdiam diri tidak berbuat apa-apa apabila peluang merebut kerusi-kerusi empuk di Putrajaya sudah terhidang di depan mata.

Muafakat Nasional.
Muafakat Nasional.

Maka, program pemulihan parti dan agenda menjadi ‘pembangkang yang berwibawa’ seperti yang diumumkan pemimpin-pemimpin utama mereka sendiri pada hari-hari awal kekalahan terpaksa ditinggalkan kerana kerusi-kerusi itu tadi menunggu-nunggu untuk diisi.

Menghuni Putrajaya semula dan selepasnya Seri Perdana, luka UMNO yang dicalar selepas PRU-14 lalu barangkali tidak sempat dibebat sempurna. Isu ‘warlord’ masih ada, kalau pun tidak semakin galak berleluasa. Isu hirarki parti dan struktural pula seakan-akan mula membelitnya dari sudut yang tidak disangka-sangka.

Seperti yang pernah disebut Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar semasa UMNO dalam fasa penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin Ogos lalu, isu yang berlaku dalam UMNO timbul apabila dalam banyak keadaan, ahli-ahli parlimen parti itu bukanlah mereka yang menganggotai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), begitu juga sebaliknya.

Noh Omar
Noh Omar

Keadaan ini menyebabkan arahan-arahan tertentu parti yang diputuskan di peringkat MKT tidak dipatuhi ahli-ahli parlimen, dan begitu juga sebaliknya apabila tindakan sesetengah ahli parlimen tidak mendapat restu MKT. Kewujudan dua kumpulan iaitu kumpulan pro Presiden UMNO Zahid Hamidi dan kumpulan pro Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada masa itu iaitu Ismail Sabri adalah contoh klasik dalam kes ini.

Apabila Ismail Sabri diangkat menjadi PM, konflik yang wujud adalah beliau bukanlah Presiden UMNO, atau presiden mana-mana parti; posisi biasa yang disandang mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

PRN atau tidak? Tunggu UMNO!

Dari segi hirarki pentadbiran kerajaan, beliau berada di kedudukan tertinggi namun di peringkat partinya sendiri, tidak. Sebagai naib presiden, beliau ada presiden dan timbalan presiden di atasnya yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja dalam membuat keputusan-keputusan berkaitan kerajaan walaupun secara idealnya, beliau tidak perlu punya kebimbangan tersebut.

Situasi ini mungkin agak sedikit mengikat tangan beliau daripada bebas menentukan keputusan-keputusan tanpa diganggu atau dipengaruhi pimpinan partinya.

Pada masa sama, Zahid selaku presiden sebuah parti yang paling dominan dalam kerajaan pula tidak punya kuasa politik dan eksekutif ke atas menteri-menteri kabinet dan timbalan-timbalan menterinya walaupun mereka barangkali ahli parti yang diketuai Zahid.

Isu ini jika tidak diurus dengan baik akan membelit UMNO dan menghalangnya daripada menyelesaikan segala kemelut parti itu sama ada di peringkat nasional mahupun di negeri-negeri.

Maka, atas sebab itulah agaknya kita dapat melihat bahawa mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung malam tadi tidak dapat membuat beberapa keputusan penting;

antaranya termasuklah sama ada parti itu mahu bekerjasama dengan PN atau tidak dalam PRN Melaka nanti.

Kerjasama dengan Pas pula langsung tidak dibincangkan.

Keputusan mesyuarat kabinet hari ini pula akan diperhatikan dengan penuh minat kerana seperti yang dimaklumkan Ismail Sabri minggu lalu, Kabinet akan membuat keputusan hari ini sama ada mahu menasihatkan Yang Dipertuan Agong (YDPA) atau tidak, untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguh PRN di sana.

Keputusan untuk menasihati YDPA, atau secara mudahnya keputusan sama ada mahu meneruskan PRN Melaka atau tidak – dipercayai amat bergantung kepada kemampuan UMNO untuk memenangi PRN tersebut; bayangan yang sepatutnya digambarkan malam tadi dalam mesyuarat MKTnya.

Dan dalam keadaan keputusan-keputusan penting tidak dapat dibuat malam tadi, ada kemungkinan mesyuarat kabinet hari ini berkaitan PRN juga akan status quo, dan orang Melaka perlu menunggu lagi sehingga ke saat terakhir; apakah mereka perlu keluar mengundi atau tidak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!