Burger buah nangka banyak khasiat
KUANTAN – Hasrat untuk memberi pilihan makanan berkhasiat kepada masyarakat ternyata berhasil apabila sekumpulan penyelidik universiti tempatan berjaya menghasilkan burger daging berasaskan nangka.
Pakar penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pensyarah Kanan, Dr Ibrahim Abu Bakar berkata, inovasi tersebut dilakukan selepas diminta oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi menyelesaikan lambakan nangka di negeri ini.
Menurutnya, selepas dihubungi pegawai Fama, beliau mula memikirkan mengenai produk yang perlu dihasilkan agar tanaman hiliran ini dapat dipelbagaikan, selain dimakan begitu saja.
“Pada tahun 2013, saya mula menjalankan proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama beberapa tahun bagi menghasilkan produk burger berasaskan buah nangka.
“Penyelidikan ini dilakukan dengan mengolah bahan utamanya nangka dengan pelbagai campuran tepung untuk dijadikan sebiji burger yang berkhasiat dan ia bukan satu kerja yang mudah untuk dilakukan,” katanya ketika ditemui di makmal Kuliyyah Allied Health di Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan.
Beliau berkata, dalam menghasilkan burger itu, pemilihan buah nangka amat penting dan perlu menggunakan nangka muda kerana rasanya seakan ayam yang mudah dicarik dan boleh berfungsi sebagai pengganti daging.
Jelasnya, penghasilan kepingan burger ini juga menggunakan nisbah 70 peratus buah nangka muda dan 30 peratus bahan lain seperti cendawan, ayam atau daging lembu bagi memberi pilihan kepada penggemar burger.
“Nangka ini mempunyai tekstur yang hampir sama dengan ayam dan daging terutamanya nangka muda. Namun bagi penggemar burger, perlu ada ayam dan daging juga,” katanya.
Dr Ibrahim menjelaskan nangka muda mempunyai ciri-ciri fizikal yang hampir serupa seperti daging biasa, mengandungi serat dan air yang tinggi serta rendah lemak, selain lembut, mudah dikunyah dan sesuai untuk semua kategori pengguna termasuk kanak-kanak.
Selain itu, katanya, ia juga mengandungi vitamin C dan A, kalium, kalsium dan besi, yang berkaitan dengan pencegahan penyakit dan juga penghapusan kadmium, sejenis logam berat.
Tambahnya, kepingan burger itu juga mengandungi serat yang tinggi dan bertekstur lembut, di samping tidak mengandungi pengawet, pewarna, dan perisa.
“Burger ini amat berkhasiat dan boleh menjadi pengganti makanan segera lain,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Ibrahim berkata, burger yang dihasilkan ini adalah sangat sihat dan boleh membantu kanak-kanak yang sering mengambil burger sebagai makanan ketika disekolah mengantikan burger dan sosej.
“Kalau pelajar sekolah makan sebijik burger yang lengkap, mereka boleh kenyang dari pagi ke tengah hari,” katanya.
Dr Ibrahim juga memberitahu, burger yang dihasilkan ini telah disahkan HALAL oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan turut mendapat kelulusan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Selain itu, turut memenangi beberapa Pingat Emas dalam Pameran Teknologi Invention, Inovasi & Teknologi (ITEX) pada tahun 2013 dan Malaysian Teknologi Expo 2019.
Terkini, penyelidik UIA ini sedang mencari formula patty burger yang akan disesuaikan dengan citarasa masyarakat Jepun sebagai penyediaan permintaan membekalkan burger ke sukan olimpik Jepun 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!