Tawaran pekerjaan meningkat lebih 90,000 pada suku kedua tahun ini

Mustapa ketika Majlis Pelancaran Laporan dan Maklumat Landskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia bagi Suku Kedua 2021 dari Analisis Data Raya: Job Market Insights dan My Job Profile, secara maya pada Isnin.
Mustapa ketika Majlis Pelancaran Laporan dan Maklumat Landskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia bagi Suku Kedua 2021 dari Analisis Data Raya: Job Market Insights dan My Job Profile, secara maya pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Penawaran jawatan kosong pada suku kedua tahun ini meningkat kepada 90,502 berbanding 19,169 pada suku kedua tahun lalu berikutan keadaan ekonomi negara dan pasaran buruh yang semakin pulih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lima sektor pekerjaan paling popular yang diiklankan adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit serta pembangunan perisian.

“Sebilangan besar majikan memerlukan pekerja dalam kategori profesional (50.8 peratus), diikuti pekerja kategori juruteknik dan profesional bersekutu (19.2 peratus) dan pengurus (18.4 peratus).

“Peningkatan kekosongan jawatan ini memberi gambaran ekonomi negara berada di landasan yang betul iaitu ke arah pemulihan pada suku tahun akan datang sekiranya Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan berjaya mengurangkan impak pandemik dan seterusnya memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Laporan dan Maklumat Landskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia bagi Suku Kedua 2021 dari Analisis Data Raya: Job Market Insights dan My Job Profile secara maya, pada Isnin.

Mustapa berkata, aplikasi Job Market Insights dan My Job Profile membolehkan masyarakat mengenal pasti peluang pekerjaan serta memahami keperluan industri yang dapat menyumbang peningkatan hidup rakyat serta mengurangkan isu ketidakcekapan pasaran buruh.

Kata Mustapa, ia bakal menjadi panduan penting untuk pelajar, graduan, majikan dan penggubal dasar yang selaras dengan dasar digital negara untuk membentuk ekosistem ekonomi digital inklusif.

“Ia amat dialu-alukan dalam konteks pendigitalan perkhidmatan kerajaan di mana kita hendak tingkatkan tahap perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi antara lainnya adalah dengan pendigitalan,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mustapa, pandemik Covid-19 juga mendorong kerajaan, swasta dan seluruh masyarakat meningkatkan usaha menguasai teknologi digital selaras dengan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

"Covid-19 telah merangsang teknologi digital sebagai norma baharu dalam melaksanakan aktiviti perniagaan. Antara trend yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat adalah pertambahan dalam bilangan pekerja gig dan peningkatan permintaan tenaga berkemahiran digital," katanya.

Mustapa turut menghargai usaha Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) atas inisiatif membangunkan aplikasi pintar yang berteraskan ciri interaktif dan mesra pengguna bagi menambah nilai data buruh dalam pangkalan data.

“Ia sudah pasti akan membantu pemegang taruh merancang program berkaitan pembangunan kerjaya dan kemahiran yang diperlukan dengan lebih baik lagi.

“Selain itu, maklumat yang tersedia boleh dimanfaatkan oleh pelajar pelbagai peringkat termasuk pelajar sekolah, universiti, kolej, mereka yang mencari pekerjaan termasuk penganggur atau inginkan pekerjaan lebih baik daripada sekarang,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!