Tiga bot nelayan Vietnam bernilai RM4.5 juta ditenggelam
ROMPIN - Tiga buah bot nelayan Vietnam yang ditahan atas kesalahan menceroboh perairan Pahang ditenggelamkan dengan dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Tioman, pada Isnin.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, tiga bot ditenggelamkan itu ditahan oleh dua aset maritim Kapal Maritim Langkawi dan Penggalang 14 ketika menceroboh dan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran di perairan negeri, pada tahun lalu.
"Mahkamah memerintahkan pelucutan hak (ke atas bot nelayan Vietnam) itu dan pihak kami membuat keputusan untuk melupuskan bot-bot ini dengan menenggelamkan sebagai tukun tiruan di perairan Pulau Tioman.
"Kesemua bot dilupuskan ini dianggarkan bernilai RM4.5 juta. Kami yakin pelupusan ini dapat mengurangkan kesesakan bot-bot tahanan asing di Jeti Pusat Tahanan Vesel," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Beliau menjelaskan, setakat ini masih terdapat sembilan bot nelayan asing di bawah pengawasan Maritim Pahang dan pelupusan akan dilakukan selepas mendapat perintah daripada mahkamah.
Tambah Kamaruszaman, proses melupuskan ketiga-tiga bot ini dengan menenggelamkan sebagai tukun tiruan merupakan julung kali dilaksanakan di Pulau Tioman oleh pihaknya.
"Proses penenggelaman bot sebagai tukun tiruan ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dalam memastikan kesesuaian lokasi dan tidak menjejaskan biodiversiti marin.
"Malah, ia akan memberi manfaat kepada nelayan pesisir pantai kerana kawasan terbabit boleh dijadikan habitat baharu ekosistem marin dan sebagai peranti pemuliharaan biodiversiti marin.
"Selain itu, bot yang ditenggelamkan ini akan menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!