PN beri musuh peluru tembak Pas?

No Image Caption
A
A
A

KEPUTUSAN-KEPUTUSAN terbaru yang dibuat kerajaan Perikatan Nasional (PN) tampak meletakkan Pas dalam posisi sukar; terutamanya mutakhir ini apabila satu demi satu ‘peluru’ percuma diberikan kepada musuh-musuh politiknya dengan cukup pemurah.

Bermula keputusan Kementerian Kewangan membenarkan semula cabutan khas syarikat nombor ramalan sebanyak 22 kali pada tahun ini setelah dikurangkan kepada hanya lapan kali oleh kerajaan Pakatan Harapan dari 2019 hingga 2020, Pas seolah-olah diheret ke tengah-tengah padang lapang sasar dan diletakkan betul-betul di depan papan sasaran untuk ditujukan tembakan bertalu-talu.

Selaku parti bernuansa Islami dalam komponen PN, ahli-ahlinya menjawat posisi menteri dan timbalan menteri agama persekutuan selain jawatan-jawatan eksekutif lain dalam kerajaan, parti berusia 70 tahun itu seperti tidak dihiraukan suara dan sensitiviti mereka oleh rakan-rakan muafakat apabila keputusan sebesar itu dibuat.

Sebagai pembangkang sebelum ini, Pas sering lantang dalam isu judi termasuk menggesa penutupan kasino di Genting Highlands selain kegiatan perjudian loteri dan nombor ramalan.

Maka, kesunyian parti itu daripada mengangkat isu ini sewaktu bergelar kerajaan dan berjawatan besar dilihat cukup luar biasa malah mencurigakan.

Kecuali bisik-bisik halus Nik Abduh, Fadhli Shaari dan beberapa yang lain dari parti itu yang tidak cukup magnitudnya untuk dibandingkan dengan suara keras bantahan mereka satu ketika dulu sekitar isu yang sama, hampir tiada kenyataan dari pimpinan utama mereka untuk menunjukkan sikap Pas terhadap keputusan tersebut.

No Image Caption

Baru-baru ini tersebar semula di laman sosial klip video lama ceramah Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man tentang rencana dan keupayaan parti itu untuk menentukan siapakah dari Barisan Nasional (BN) atau PH yang bakal membentuk kerajaan hanya dengan beroleh sokongan daripada Pas diakui tidak akan memenangi kerusi parlimen yang banyak.

Artikel Berkaitan:

Bercerai, nikah baru

Ceramah tersebut dikesan diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sewaktu Pas tidak berada dalam mana-mana gabungan PH atau BN. Ia baru ‘bercerai’ dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) pada 2015, dan belum ‘bernikah’ dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) pada 2019.

Selaku parti tunggal, bergerak sendiri (dan pernah didakwa mereka sendiri “Pas kuat apabila bersendirian”), sekira-kira parti itu mahu memainkan peranan sebagai ‘king maker’ dalam situasi di mana kerajaan sukar dibentuk akibat tipisnya perbezaan kerusi parlimen.

Apa yang diceramahkan Tuan Ibrahim dalam klip video itu adalah Pas selaku parti penentu mempunyai kuasa mendesak kerajaan yang disokongnya untuk melaksanakan tuntutan Pas, antaranya menjadikan “hukum Allah sebagai peraturan, halalkan apa yang Allah halalkan, dan haramkan apa yang Allah haramkan”.

Apa yang barangkali tidak disebut dalam ceramah itu adalah bagaimana perubahan zaman, situasi dan dinamika politik selepasnya boleh sahaja menyebabkan tuntutan tersebut tidak dibuat kepada parti, atau gabungan parti yang disokong Pas sehingga menjadi kerajaan.

Dan jika ‘peluru’ cabutan khas 22 kali tidak cukup melukakan Pas, ‘peluru’ seterusnya datang dalam bentuk penutupan kes Allahyarham Adib seperti yang diumumkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin.

Apabila tragedi Adib berlaku tiga tahun lalu, Pas yang pada waktu itu pembangkang antara paling kuat mendesak kerajaan PH ‘memberikan keadilan’ kepada keluarga Allahyarham dengan mencari pelaku jenayah yang mengakibatkan kematian Adib.

Nyala api perkauman

Tuntutan mereka antaranya adalah agar Peguam Negara Tommy Thomas meletak jawatan kerana gagal melakukan pendakwaan ke atas suspek pembunuhan Allahyarham.

Tidak cukup dengan itu, sentimen dan api perkauman dinyalakan dengan taburan persepsi bahawa orang Melayu ditindas dan dimangsakan kerajaan PH yang didakwa tidak pro-Melayu dan Islam.

Namun sekali lagi sikap membisu Pas jadi cukup luar biasa selepas Zuraida mengumumkan kes Adib ditutup.

Nik Abduh tidak lagi mendesak Peguam Negara meletak jawatan, manakala Siti Zailah Yusuf tidak lagi mahu orang ramai membayangkan bagaimana jika kematian ini melibatkan orang bukan Melayu, seperti yang diucapkannya di parlimen dulu sewaktu belum menjadi timbalan menteri.

Dan jika Pas berasa dua ‘peluru’ itu sudah cukup melukakannya, mereka barangkali tersilap, atau terlupa melihat kalendar.

Ini kerana Oktober sudah tiba, dan inilah bulannya setiap tahun sebelum mereka menduduki kerusi empuk pejabat kerajaan dulu di mana mereka akan berteriak membantah ‘Festival Oktoberfest’ secara borong tanpa mahu berjimat-cermat.

Melainkan acara tahunan ini dibatalkan sepenuhnya tahun ini, maka sikap membisu Pas akan sekali lagi dipersoalkan.

Kita belum masuk isu ubah suai kediaman Perdana Menteri yang menelan belanja RM38.5 juta dalam tempoh pandemik, pegawai tinggi SPRM didakwa rasuah dan lain-lain.

Ya, parti-parti lain dalam kerajaan punya pertanggungjawaban sama tapi disebabkan kelantangan Pas pada masa lalu, sikap berdiam diri mereka pada ketika ini akan kelihatan begitu mencolok mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!