Dua penunggang motosikal pamer aksi 'superman' ditahan
SEREMBAN - Polis menahan dua lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan salah seorangnya melakukan aksi 'superman' di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) menghampiri susur persimpangan Ampangan, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kedua-dua suspek berusia 16 dan 20 tahun itu ditahan susulan tular video berdurasi 12 saat memaparkan aksi mereka menunggang sambil berbaring di atas tempat duduk ala ‘superman’ dan secara 'zig-zag'.
"Berdasarkan rakaman video berkenaan, kejadian itu berlaku pada jam 5.30 petang yang mana suspek dipercayai dari arah Bukit Berembun, Jalan Pantai menghala ke arah Senawang.
"Aksi tersebut bukan saja berbahaya kepada diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, suspek telah ditahan di dua lokasi berbeza iaitu Taman Matahari Indah dan Taman Bandar Senawang.
"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!