'Tak salah dari segi undang-undang, tapi libatkan moral' - Tun M
KUALA LUMPUR - Tindakan menyimpan duit dalam akaun di luar negara dilihat bukan satu kesalahan dari segi undang-undang namun perkara tersebut berkemungkinan tidak sesuai dari sudut moral.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada masa sama berpandangan, bahawa kerajaan tidak boleh mengambil sebarang tindakan mengenainya kerana masih belum ada sebarang undang-undang untuk menangani aktiviti tersebut.
"Dari segi undang-undang ia tidak salah, tetapi dari segi moral mungkin tidak sesuai kalau ada duit dan simpan di luar negara.
"Mereka ini ada yang dapat keuntungan di luar negara dan membayar hasil cukai di negara tersebut. Kalau mereka bawa balik wang mungkin dikenakan bayaran lain.
"Jadi mereka tidak buat kesalahan sama ada di negara kita atau di negara, tempat mereka berniaga. Kalau mereka tidak bayar cukai di negara yang mereka berniaga, itu salah," katanya mengulas mengenai pendedahan Kertas Pandora dalam sidang media di sini, pada Isnin.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Isnin memaklumkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum memulakan siasatan terhadap laporan Kertas Pandora.
Wan Junaidi berkata, SPRM dalam proses mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendedahan tersebut.
Dr Mahathir turut berpandangan bahawa kerajaan tidak boleh melakukan sebarang tindakan kerana masih belum ada sebarang undang-undang untuk menangani isu tersebut.
"Kalau tidak suka, boleh tukar undang-undang kita dan rakyat Malaysia yang berniaga di luar negara serta untung di sana mesti bawa balik keuntungan mereka," kata beliau.
Pendedahan Kertas Pandora oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) sebelum ini telah memetik beberapa figura dalam negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir sepanjang 25 tahun lalu.
Pendedahan yang dibuat melibatkan hampir 12 juta fail itu turut mendapati sebanyak 118 firma luar pesisir yang sebahagian besarnya didakwa melibatkan pemilik berasal dari Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!