Sempat jerit pada jiran sebelum tanah runtuh
KUALA LUMPUR - Seorang penduduk sempat menjerit supaya jiran-jirannya yang tinggal di Jalan Limau Purut, Bangsar, di sini supaya segera keluar dari rumah sebelum insiden tanah runtuh berlaku di kawasan perumahan tersebut pada Sabtu.
Low Kok Ang, 55, yang tinggal di Lingkungan Negeri Sembilan mendakwa, dia sudah menyedari keadaan tanah mulai mendap di belakang rumah mangsa tiga hari sebelum kejadian tanah runtuh itu berlaku.
Lelaki yang tinggal di kawasan berkenaan sejak enam tahun lalu berkata, dia menjerit kepada jiran-jirannya pada pagi Sabtu tersebut ketika melihat pergerakan tanah bertambah teruk supaya mereka menyelamatkan diri.
"Saya perasan keadaan tanah di sini mendap akibat hujan lebat yang melanda, tiga hari sebelum kejadian berlaku.
"Sebelum kejadian, saya menjerit kepada penghuni untuk segera keluar dari rumah kerana terdapat pergerakan tanah di belakang rumah mereka," katanya.
Seorang penduduk di Jalan Limau Purut, Bangsar yang hanya mahu dikenali sebagai Khairy pula berkata, dia terdengar bunyi yang kuat seperti ada benda berlanggar ketika insiden tanah runtuh tersebut berlaku sekitar jam 6 petang, pada Sabtu.
Katanya, selepas mendengar bunyi tersebut, dia keluar dari kawasan rumah dan terlihat jiran-jirannya di luar rumah lalu terus menghubungi pihak persatuan penduduk untuk memaklumkan kepada DBKL.
"Kerjasama persatuan di sini sangat bagus kerana mereka mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa dan terus hubungi DBKL untuk dapatkan bantuan dengan pantas," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Singam pula berkata, dia antara penduduk yang disarankan untuk berpindah ke tempat lebih selamat ketika tanah runtuh berlaku.
"Saya tidak sedar kes ini terjadi sehingga tersedar daripada tidur akibat bunyi siren bomba. Mereka ada maklumkan kepada saya untuk berpindah, namun disebabkan kejadian jauh dari rumah, saya diarahkan untuk berjaga-jaga dan sentiasa memantau keselamatan sekeliling," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di tapak kejadian tanah runtuh di Lingkungan Negeri Sembilan, Bangsar di sini mendapati, kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan di lokasi kejadian sedang dijalankan.
Hasil tinjauan turut mendapati mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian itu sudah berpindah dari rumah mereka.
Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya (BBRA), Charles Tan berkata, sebanyak tiga buah rumah didapati terjejas akibat runtuhan tanah tersebut.
Menurutnya, berkemungkinan beberapa rumah lagi yang berdekatan rumah mangsa boleh terlibat dalam insiden tersebut.
"Pada malam Sabtu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) datang ke kawasan perumahan tersebut untuk memaklumkan kepada mangsa dan penduduk berhampiran untuk berpindah kerana tanah runtuh tersebut sangat dekat dengan bahagian belakang rumah mereka.
"Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula telah melakukan kerja dengan baik apabila menghantar kontraktor pada pagi Ahad untuk memasang kanvas di kawasan runtuhan bagi mengelakkan hakisan bertambah buruk. Kami harap mereka membuat tinjauan lebih holistik untuk mengelakkan kejadian lain," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!