Dari penjual nasi lemak, Suliza kini terapis urutan berjaya

Suliza mengurut bayi sebagai salah satu pakej yang ditawarkan kepada pelanggan.
Suliza mengurut bayi sebagai salah satu pakej yang ditawarkan kepada pelanggan.
A
A
A

PUNCAK ALAM - “Akak nekad nak ubah hidup sebab pernah rasa peritnya tak ada duit nak besarkan anak-anak,” kata terapis urutan dan penjagaan berpantang, Suliza Sulaiman, 44.

Menurutnya, sebelum ini dia berniaga nasi lemak di hadapan sebuah sekolah namun pendapatan semakin merudum sehingga tidak mampu untuk menampung bayaran pinjaman.

“Sebelum ini, akak berniaga nasi lemak dalam tiga tahun macam tu. Mula-mula OK tapi tak tahulah lepas tu merudum sampaikan sehari tak sampai pun RM50 untung jualan.

“Akak mula terfikir nak cuba niaga lain dan bila baca ada kursus MyBidan House ini saya cuba sebab memang suka urut-urut cuma tak ada ilmu pasal urutan.

“Bila datang kursus tu, dia cakap bayaran untuk belajar RM2,900. Akak terkejutlah sebab satu mahal...lagipun manalah nak cari duit nak bayar semua tu dengan untung jual nasi lemak pun tak seberapa.

“Tapi bila kata untuk asnaf, boleh isi borang. Memang masa itu akak tersenarai asnaf untuk bantuan perniagaan. Bila kata asnaf bayaran tidak dikenakan, ya ALLAH rasa macam tak tahu nak cakaplah.

“Bila percuma ni memang terujalah nak belajar. Bila dapat tawaran kursus seminggu tu, akak resah juga kalau seminggu tak niaga macam mana nak bayar pinjaman mingguan RM633 tu.

“Tapi alhamdulillah ALLAH permudahkan bila suami kebetulan dapat gaji awal dan boleh bayar dulu,” katanya yang mula mengikuti kursus Mybidan House sejak 2017.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tempoh seminggu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mempelajari teknik urutan berpantang ibu dan anak dengan betul bagi membolehkannya mempraktikkan dengan baik.

“Selepas habis belajar, akak kena cari 30 pelanggan pertama untuk praktikkan ilmu urutan dan mula-mula tu kurang yakin sebab harga yang ditetapkan RM80 sekali urut difikirkan mahal.

“Tapi akak nekad juga cari pelanggan dengan dengan buka reruai bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS) tak kira penat sebab bermotivasikan mahu cari duit, akak sanggup kerja siang malam.

“Mula-mula memang tak yakin nak urut orang tapi bila urut seorang pelanggan ni sakit tangan, dia cakap dah tak sakit dan urat pun ok...akak jadi seronok dan bersemangat.

Kenangan Suliza bersama rakannya menyewa reruai di pasar raya terkenal untuk mempromosikan khidmat urutan.
Kenangan Suliza bersama rakannya menyewa reruai di pasar raya terkenal untuk mempromosikan khidmat urutan.

“Dulu dengan kereta kancil yang kalau hujan memang basah tu akak hulu ke hilir mencari rezeki...anak-anak pun alhamdulillah boleh fokus belajar sebab dulu asyik tolong niaga nasi lemak.

“Anak yang bongsu akak sanggup bawa sebab suami kerja pemandu lori tak tentu masa. Jadi akak tak nak jadikan anak sebagai halangan untuk berjaya,” katanya.

Suliza tidak menafikan golongan asnaf ini ada banyak peluang untuk mendapatkan pelbagai bantuan khususnya modal perniagaan disediakan LZS.

“Kena muhasabah diri dan perbetulkan niat. Alhamdulillah akak bersyukur dengan rezeki yang ada sekarang ini dan dapat membahagiakan suami serta anak-anak,” katanya.

Menurutnya, dia amat berterima kasih kepada LZS yang membantunya hingga dapat mengubah kehidupannya menjadi lebih baik.

Suliza turut berkongsi kisah tragis hidupnya apabila anak kedua meninggal dunia dalam kemalangan ketika mahu menghantar tempahan nasi lemak kepada pelanggannya.

“Anak kedua akak, Hakim memang seorang anak yang baik dan ringan tulang bila diperlukan. Sebelum kejadian pagi tu, akak minta dia tolong hantarkan tempahan nasi lemak sekurang-kurangnya dia ada duit jajan.

“Ketika itu tak ada langsung duit di tangan dan kalau dapat bayaran tempahan tu lepaslah nak beli apa yang patut. Tapi tak sangka anak kemalangan.

“Hanya ALLAH saja yang tahu perasaan akak masa di hospital, memang tawakal dan berserah pada ALLAH saja. Nak bayar RM1 untuk daftar pun tak ada tapi semuanya dipermudahkan.

“Sejak itu, akak memang nekad betul nak cari duit. Bila sertai Mybidan House ni alhamdulillah hidup sedikit demi sedikit berubah sebab walaupun percuma tapi akak buat yang terbaik demi ubah hidup.

“Pengalaman yang paling tak dapat dilupakan apabila dapat satu pelanggan ni untuk pakej berpantang tapi kita dilayan seperti pembantu rumah kena buat kerja macam-macam dengan bayaran cukup rendah.

“Tapi akak masa tu layankan saja sebab masa tu baru mula-mula nak belajar mengurut...memang penat tak ingat dengan sakit belakang bila disuruh buat kerja rumah.

“Itulah pengalaman memang tak dapat dilupakan dan banyak memberi pengajaran dalam hidup. Alhamdulillah dari zero pendapatan akak mampu mengupah dua pembantu sekarang ni dengan perkhidmatan seluruh Selangor.

“Sebab akak percaya, jika perkhidmatan kita bagus orang akan cari. Akak pula sanggup pergi luar Puncak Alam jika ada permintaan,” katanya yang turut mempromosikan pakejnya di FB miliknya, Suliza Sulaiman (Suliza Mybidan House).

Pakej urutan selepas bersalin yang disediakan serendah RM120 manakala pakej penuh yang ditawarkan bernilai RM1,950 untuk tempoh seminggu penjagaan dengan seorang pembantu.

Katanya, pakej yang disediakan menggunakan khidmat orang Melayu yang mempunyai ilmu urutan perbidanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!