'Perkongsian saya untuk kesedaran orang ramai'
SHAH ALAM - Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong tampil memberikan penjelasan berkaitan perkongsian beliau mengenai isu gangguan seksual yang pernah berlaku di kem terjun negara beberapa tahun lalu.
Menurutnya, perkongsian pengalaman yang dialaminya itu dilakukan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan isu tersebut selain turut memberi sokongan kepada individu yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual.
“Saya berkongsi pengalaman ‘tidak begitu baik’ saya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai dan sokongan kepada mangsa di luar sana, yang selalu dilema, sama ada mahu bersuara atau berdiam diri.
“Yang paling penting, individu yang membiarkan dan menyokong perbuatan itu tidak boleh dipopularkan. Orang lain mungkin lupa, tetapi bukan mangsa.
“Saya masih menyokong sepenuhnya #rapejokeisnotfunny (#rogolbukanlawak), dengan harapan generasi akan tampil berani apabila saya tidak dan tidak jadi seperti saya dahulu,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Lawak rogol tidak kelakar: Pandelela
Pada Khamis, Pandelela telah menceritakan kembali masalah yang pernah melanda kem terjun kebangsaan berkenaan seorang bekas jurulatihnya yang didakwa suka membuat lawak lucah terhadap atlet negara.
Katanya, individu tersebut individu juga berdepan isu rogol melibatkan seorang penerjun negara beberapa tahun lepas.
Pendedahan oleh Pandelela itu dipercayai dibuat selepas tular satu video di sosial media menunjukkan seorang pelakon tempatan dengan tidak sensitif berkongsikan pengalamannya melakonkan babak rogol di sebuah rancangan televisyen baru-baru ini.
I shared my “not so nice” experience to give awareness to the public, and support for victims out there, who are always in dilemma, whether to speak up or stay silent. Most importantly, enabler and their backups shouldn’t be glamorised. Others may forget, but not the victim.
— Pandelela Rinong (@Pandelela_R) October 25, 2021
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!