Kemenangan untuk rakyat Malaysia
PENJARING gol tunggal skuad Bawah-22 (B-22) negara, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Laos pada Isnin adalah untuk rakyat Malaysia.
Menurutnya, kemenangan berkenaan adalah hadiah istimewa buat rakyat negara ini yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad B-22 negara.
“Kemenangan ini adalah untuk rakyat Malaysia. Terima kasih kerana support (sokong) kami selama ini.
“Terima kasih juga kepada coach (jurulatih). Alhamdulillah,” katanya pada sidang media dalam talian pada Isnin.
Pada perlawanan berkenaan Muhammad Nur Azfar berjaya memanfaatkan lorongan cantik pemain gantian Quentin Cheng, sebelum menewaskan penjaga gol Laos, Solasak Thilavon untuk gol tunggal skuad negara.
Sebelum itu, Nur Azfar juga hampir membuka jaringan pada minit ke-30, separuh masa pertama, tetapi dia terlebih dahulu dikesan berada pada posisi ofsaid oleh pengadil.
Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu dilihat tidak berputus asa dengan terus melakukan percubaan ke pintu gol Laos hingga akhirnya menjaringkan gol tunggal negara pada minit ke-68.
Jaringan itu juga membuatkannya terpilih selaku pemain terbaik (man of the match), bagi perlawanan berkenaan.
Mengulas lanjut, Nur Azfar mengakui berbangga kerana berjaya menjaringkan gol kemenangan buat skuad negara.
Katanya, gol jaringannya itu juga sangat bermakna kerana dijaringkan pada penampilan sulungnya bersama skuad negara.
“Saya sangat gembira kerana berjaya menjaringkan gol ini. Lebih membanggakan adalah apabila kami turut berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan cuaca di sini.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua penyokong Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!