Pelanggan ikan sangkar kembali meningkat
TEMERLOH - Pergerakan rentas negeri bermula sejak 11 Oktober lalu memberi sinar buat pengusaha dan peniaga ikan sangkar khususnya patin di sepanjang Sungai Pahang apabila kembali menerima pelanggan yang menggalakkan selepas beberapa bulan tertekan akibat pandemik Covid-19.
Bagi pemilik gerai Patin 118 di Kampung Bangau Tanjong di sini, Sohaimi Osman, 59, mengakui lega apabila mula menerima kunjungan daripada pelanggan terutamanya mereka dari luar Pahang yang semakin meningkat sejak minggu lalu.
"Memang nampak perbezaannya berbanding ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nak habiskan 10 kilogram ikan sehari pun payah.
"Sekarang dah boleh cari makan malah pada hujung minggu lalu, sebanyak 80 kilogram sehari terjual," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ditanya mengenai bekalan ikan, Sohaimi berkata, dia tidak berdepan dengan masalah tersebut kerana memiliki 30 sangkat yang diusahakan sejak 2012 itu.
Dia yang menjual ikan patin dengan harga RM18 sekilogram di gerainya menjangkakan jumlah pelanggan akan bertambah pada minggu ini berikutan orang ramai sudah mendapat gaji.
"Mungkin lebih ramai orang dari luar Pahang datang ke sini untuk mendapatkan bekalan ikan patin," jelasnya.
Dalam pada itu, pemilik gerai di Jalan Kampung Raja, Songsang, Siti Soleha Adawiyah Mat Arob, 32, turut gembira dan lega kerana situasi semakin pulih dan jumlah pelanggan kembali bertambah berbanding sebelum ini.
"Bak orang kata, kami kini sudah kembali bernafas memandangkan tempoh pandemik Covid-19 sangat memberi kesan yang paling teruk selepas tujuh tahun berniaga ikan sangkar ini," ujarnya yang menjual ikan patin dengan RM17 sekilogram di gerai miliknya.
Tambahnya, alasan dia menjual dengan harga tersebut kerana sedar situasi pandemik menyebabkan ramai orang terjejas dan hilang sumber pendapatan.
Situasi tersebut turut diakui Mohd Zahir Ibrahim, 37 dari Pengkalan Manggis yang bersyukur kerana jumlah pelanggan dan jualannya meningkat selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan.
"Bagi saya, jumlah pelanggan dari daerah lain dan luar Pahang bertambah sejak Pahang beralih fasa selain kebenaran pergerakan rentas negeri menjadi faktor kehadiran pelanggan.
"Saya pun jangkakan jumlahnya akan terus meningkat bila orang ramai sudah dapat gaji nanti," ujarnya.
Sementara itu, seorang pengusaha ikan sangkar di Kampung Lada, Jerantut, Afzalrullah Isharum, 28, turut lega kerana sudah ada pelanggan dari luar Pahang yand datang mencari bekalan ikan patin di sini.
"Pelanggan saya ada yang datang dari Shah Alam untuk mendapatkan bekalan ikan khususnya sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan," katanya.
Bagaimanapun, Roslan Ahmad, 61, pula menyifatkan peningkatan jumlah pelanggan hanya baharu mencapai tahap 10 peratus.
"Masih belum ramai pelanggan seperti diharapkan namun saya akui ia bergantung pada rezeki, mungkin ada peniaga mendapat lebih ramai pelanggan dan sebaliknya," tambahnya yang sudah lapan tahun mengusahakan gerai menjual ikan sangkar sejak lapan tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!