Maritim Pulau Pinang bantu kru kapal Turki
GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang membantu seorang kru kapal dari Turki selepas mangsa yang berusia 60 tahun didapati tidak sedarkan diri.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Ankara, Turki berhubung seorang kru kapal Kiran Australia yang tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, ketika kejadian, kapal tersebut dalam perjalananan menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang pada jam 5.25 petang Isnin.
"Sejurus menerima maklumat tersebut, bot PERKASA 1221 diatur gerak serta merta ke lokasi kecemasan di lokasi sekitar 33.5 batu nautika barat daya Pulau Kendi bagi melaksanakan pemindahan dan bantuan perubatan kepada mangsa.
"Bot PERKASA 1221 tiba di lokasi kira-kira jam 6.33 petang dan mangsa dipindahkan daripada kapal ke bot untuk dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban sebelum dihantar ke hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut Abd Razak berkata, mangsa dikenali sebagai Dogan Serafettin berusia 60 tahun itu merupakan warga Turki.
"Mangsa segera dibawa ke Hospital Pantai Pulau Pinang sebaik tiba di jeti untuk rawatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!