Arab Saudi lancar inisiatif iklim berjumlah AS$10.4 bilion

Arab Saudi. - Foto AA
Arab Saudi. - Foto AA
A
A
A

RIYADH - Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman pada Isnin melancarkan inisiatif serantau berjumlah 39 bilion riyal Saudi (AS$10.4 bilion) untuk menangani perubahan iklim dengan kerajaan itu akan menyumbang sebanyak 15 peratus daripada jumlah itu, lapor Agensi Anadolu.

Dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Inisiatif Hijau Asia Barat, beliau berkata kerajaan negaranya akan berusaha untuk mewujudkan pusat amaran awal ribut serantau.

Beliau juga dilaporkan mengumumkan mengenai penubuhan pusat serantau untuk perubahan iklim, pusat serantau untuk pengawalan dan penyimpanan karbon, pusat serantau untuk pembangunan lestari perikanan dan program pembenihan awan serta penubuhan "Yayasan Inisiatif Hijau," sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan untuk menyokong tugas-tugas sidang kemuncak itu pada masa hadapan.

Sidang Kemuncak Inisiatif Hijau Asia Barat mempertemukan pemimpin dan pegawai terkemuka dari rantau ini dan dunia dengan matlamat untuk mengukuhkan kerjasama dan menyatukan usaha bersama ke arah melaksanakan komitmen terhadap alam sekitar.

Mac lalu, Arab Saudi mengumumkan pelancaran inisiatif Arab Saudi Hijau dan Asia Barat Hijau bertujuan meningkatkan kualiti hidup dengan meningkatkan pergantungan kepada tenaga bersih, meneutralkan kesan bahan api dan melindungi alam sekitar.

Selain itu, inisiatif ini turut menyasarkan penanaman 50 bilion batang pokok di rantau ini dan mengurangkan pelepasan karbon lebih 10 peratus daripada pelepasan karbon global. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!