MVP bakal kilang pertama hasilkan vaksin manusia halal di dunia
PUCHONG - [DIKEMASKINI] Malaysian Vaccine and Pharmaceutical (MVP) bakal menjadi kilang pertama menghasilkan vaksin manusia yang halal di dunia menjelang tahun 2024.
Pengarah Eksekutif MVP, Rashidah Ibrahim berkata, tempoh jangkaan tersebut lebih awal daripada yang diharapkan oleh kerajaan.
Tambahnya, MVP menjangkakan mampu menghasilkan sebanyak 10 juta dos menjelang tiga tahun.
“Kita mempunyai bangunan dua lot kilang. Dengan teknologi sama, dalam tempoh kurang dari tiga tahun kita mampu membekalkan vaksin manusia.
“Kami tiada masalah kerana kebanyakan pekerja di sini mempunyai kepakaran teknikal yang sangat tinggi,” katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen MVP dan St Petersburg Scientific Research Institutes For Vaccine, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hasan; Ahli Lembaga Pengarah MVP dan Bekas Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Pertahanan Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Panglima Dr Amin Muslan.
Dalam pada itu, Rashidah berkata, St Petersburg melabur sebanyak AS$50 juta bagi menampung fasiliti dan mesin untuk menghasilkan vaksin.
Menurutnya, vaksin yang dihasilkan akan dikembangkan bukan sahaja untuk kegunaan tempatan tetapi di luar negara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“MVP akan kembangkan secara global, jadi kita tidak akan bergantung dengan kehendak tempatan sahaja.
“Kita punya perjanjian dengan St Petersburg yang memberikan kita pasaran di South Asia dan beberapa negara terpilih OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam),” ujarnya.
Mengulas lanjut, Rashidah berkata, MVP bakal menjadi kilang pertama halal di dunia untuk menangkis fahaman antivaksin dan mengurangkan keraguan.
“Jika semuanya berjalan lancar, insya-ALLAH Malaysia akan mempunyai kilang vaksin pertama di negara,” jelasnya.
Ujar Rashidah, MVP bermula dengan mencipta enam jenis vaksin untuk haiwan pada 1994 dan sehingga kini sudah menghasilkan sebanyak 16 jenis vaksin.
Sementara itu, Dr Adham berkata, fokus kerajaan pada masa ini adalah menitikberatkan bidang berkaitan inovasi terhadap sains, penyelidikan dan teknologi di samping membantu dan membangunkan usahawan dalam bidang tersebut.
Tambahnya, lawatan kali ini bagi meninjau bagaimana MOSTI boleh mengangkat MVP untuk maju dan mara ke hadapan lebih-lebih lagi untuk menceburi arena pembuatan vaksin untuk manusia.
“Saya sangat kagum dengan MVP kerana walaupun berstatus SME (perusahaan kecil dan sederhana), ia membawa nama Malaysia melalui jenama MYVAC, mempunyai barisan pengurusan yang hebat, malah mampu menarik minat 100 peratus pekerja tempatan tanpa pergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!