2,762 murid, pelajar di Kota Kinabalu terima peranti
KOTA KINABALU - Seramai 2,762 murid dan pelajar sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu menerima peranti menerusi program Cerdik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 12 sekolah rendah dan menengah di PPD Kota Kinabalu bagi membantu mereka mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selain dapat meringankan beban ibu bapa
"Seramai 150,000 murid dan pelajar menerima peranti berkenaan secara berperingkat termasuk 10,000 unit peranti yang dibiayai oleh kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir menyampaikan peranti kepada pelajar dalam Majlis Serahan Peranti Cerdik PPD Kota Kinabalu di Sekolah SMK Tebobon, di sini, pada Selasa.
Sementara itu, menurut pelajar Tingkatan Tiga SMK Tebobon, Mohd Habbil Syazwan Sulaiman, pemberian peranti itu akan memudahkannya mengikuti PdPR.
"Sebelum ini saya menggunakan telefon pintar tetapi ada kekangan jika mahu memuat turun tugasan sekolah.
"Jadi dengan adanya peranti yang baharu ini akan memudahkan saya untuk menyiapkan tugasan ketika belajar di rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis itu.
Tambah beliau, memandangkan keluarganya berpendapatan sederhana menyebabkan dia tidak sampai hati untuk mendapatkan peranti yang lebih baik.
"Bapa saya cuma bekerja sebagai tukang sapu manakala ibu tidak bekerja, jadi saya akan guna apa sahaja yang ada untuk belajar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!