Pembantu tadbir tak mengaku salah guna harta RM15,350
KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan membabitkan salah guna harta berjumlah keseluruhan RM15,350.
Tertuduh Mohd Amran Ghazali, 56, yang juga ahli Persatuan Kakitangan Islam Pejabat RISDA Negeri Terengganu (Perkit) didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta milik persatuan itu.
Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mohd Amran didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu sekitar tahun 2016 dan 2017.
Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh.
Tertuduh turut diarahkan melapor diri ke pejabat SRPM setiap 1 hingga 5 haribulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada SPRM Terengganu.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 25 November depan untuk perbicaraan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!