Keluarga tertekan diganggu ah long Singapura

Wee Tse ( kanan) bersama Ng ( tengah) menunjukkan laporan polis berhubung gangguan ah long pada sidang akhbar di Pejabat PKR Cabang Tebrau pada Selasa.
Wee Tse ( kanan) bersama Ng ( tengah) menunjukkan laporan polis berhubung gangguan ah long pada sidang akhbar di Pejabat PKR Cabang Tebrau pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah keluarga bukan sahaja menjadi mangsa penipuan daripada aplikasi pinjaman wang malah diugut jika gagal membayar hutang berkenaan.

Lelaki yang dikenali sebagai Ng, 37, itu berkata, episod duka yang menimpa keluarganya itu bermula selepas adiknya yang bekerja di Singapura meminjam wang melalui aplikasi pinjaman wang pada awal September lalu.

Ng berkata, selepas memperoleh pinjaman sebanyak SGD1,000 bersamaan kira-kira RM3,079, akaun adiknya terus menerima kemasukan wang sebanyak SGD2,000.

"Adik saya memaklumkan dia sudah membuat bayaran penuh terhadap pinjaman itu namun tidak lama selepas itu mereka memindahkan lagi sebanyak SGD2,000 kepada adik saya tanpa kerelaannya.

"Adik saya diganggu ah long itu sebelum bertindak menyekat nombor telefon berkenaan. Kini ah long mengganggu kami sekeluarga di Johor Bahru.

"Sebagai abang sulung kepada dua adik lelaki dan mempunyai ibu serta ayah yang sudah tua, saya risau memikirkan keselamatan mereka," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PKR Cabang Tebrau, di sini pada Selasa.

Ng menambah seorang pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Richard Lou telah memuat naik gambarnya bersama keluarga dengan keterangan mendakwa dia dan isteri tidak membayar pinjaman yang dibuat.

Selain itu, dia turut menerima mesej berunsur ugutan menerusi WhatsApp dari nombor telefon berdaftar di Singapura yang mengugut untuk membakar rumah dan keretanya selain menyimbah cat merah.

Artikel Berkaitan:

"Saya turut menerima mesej WhatsApp dari nombor telefon tempatan yang menghantar gambar pistol selain menerima amaran supaya berhati-hati ketika keluar dari rumah.

"Saya dan isteri tidak pernah membuat pinjaman tetapi saya telah membuat laporan polis di Balai Setia Indah pada 8 dan 14 Oktober lalu kerana bimbang keselamatan kami,

Bagaimanapun kata Ng, pada 14 Oktober lalu kereta adik bongsunya di Taman Desa Jaya disimbah cat merah pada jam 11.30 malam selain terdapat notis di pagar rumah yang tertera amaran pertama.

Tambah Ng, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan seorang wanita bertindak menyimbah cat merah manakala seorang lelaki menampal notis terbabit.

"Saya tidak mempunyai musuh dan berharap dapat kembali hidup tenang daripada gangguan itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse meminta polis melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap kes tersebut sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Mana-mana individu yang menjadi mangsa keadaan seperti ini perlu segera membuat laporan polis sebelum keadaan menjadi lebih rumit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!