Keputusan kerjasama MN dimuktamadkan Khamis ini

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada UMNO akan meneruskan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Khamis ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu akan dibuat pucuk pimpinan parti.

"Kita cuma perlu tunggu keputusan rasmi daripada pucuk pemimpin kita.

"Setakat ini, ketika kita bergerak melawat pengundi akar umbi, majoriti ahli kita berharap MN dipelihara," katanya pada sidang akhbar di Menara Dato Onn pada Selasa.

Sebelum ini masa depan MN menjadi tanda tanya apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk Pas.

Bagaimanapun selepas itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan soal kerjasama dalam PRN Melaka belum diputuskan MKT.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, situasi itu menunjukkan akar umbi mahu UMNO dan Pas terus kekal bersama.

"Bagaimanapun terpulang kepada Pas. Dalam perbincangan kita membincangkan tentang pentingnya untuk pastikan MN boleh kekal bekerjasama.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini perkara ini belum dimuktamadkan lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!