Nelayan hilang jatuh bot
PARIT BUNTAR - Seorang nelayan hilang di laut selepas terjatuh dari bot di perairan Kuala Kurau pada Selasa.
Kehilangan Ong Boon Lai, 40, sekitar jam 6.30 pagi itu disedari rakan mangsa sebelum melaporkan kepada majikan mereka.
Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, operasi carilamat yang digerakkan pada jam 9.45 pagi itu masih belum menemui sebarang petunjuk.
Menurutnya, operasi pencarian dilakukan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi bersama bot Kilat 9 dengan dibantu Bot Kerambit Pasukan Polis Marin, Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan nelayan setempat.
"Mangsa dikatakan keluar ke laut menaiki sebuah bot nelayan bersama tiga lagi pekerjanya.
"Daripada laporan awal diterima, mangsa disyaki terjatuh ke dalam laut di kedudukan 0.6 barat daya muara Kuala Kurau," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor merangkumi keluasan 11 batu nautika persegi.
Katanya, setakat jam 3.30 petang, mangsa masih belum ditemui.
"Maritim mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut merujuk ramalan kaji cuaca dan mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk memastikan bot dalam keadaan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!