Kraftangan Malaysia optimis industri kraf kembali ‘bernafas’

Perkembangan itu bakal membawa sinar baharu kepada lebih 6,000 usahawan kraf di seluruh negara yang terjejas pendapatan sejak penularan Covid-19 melanda. - Foto Bernama
Perkembangan itu bakal membawa sinar baharu kepada lebih 6,000 usahawan kraf di seluruh negara yang terjejas pendapatan sejak penularan Covid-19 melanda. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas hampir dua tahun lengang tanpa pengunjung, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia optimis industri kraf mampu dirancakkan semula dan kembali ‘bernafas’, susulan pembukaan semula pusat jualan kraf miliknya di seluruh negara sejak Isnin lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Rubiah Wang berkata, pihaknya juga yakin mampu mencapai sasaran nilai jualan tahun ini menerusi 10 pusat jualan Karyaneka termasuk di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Jalan Ampang, Muzium Negara serta platform dalam talian.

"Bagi jualan di Karyaneka sahaja, sejak Januari kita telah mencapai nilai jualan RM3 juta setakat ini dan kita yakin dapat capai melebihi sasaran (RM3.5 juta) akhir tahun ini, manakala bagi produk kraftangan pula, kita sasarkan nilai jualan RM200 juta dan setakat ini jumlahnya sudah mencapai RM150 juta," katanya kepada pemberita pada satu majlis khas sempena pembukaan semula Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurutnya, beliau juga yakin perkembangan itu bakal membawa sinar baharu kepada lebih 6,000 usahawan kraf di seluruh negara yang terjejas pendapatan sejak penularan Covid-19 melanda.

Tambahnya, pelbagai promosi akan ditawarkan dari masa ke masa sebagai langkah menggalakkan perbelanjaan domestik serta membantu merancakkan semula industri beli-belah negara antaranya inisiatif baucar rebat tunai bernilai RM30 bagi setiap pembeliaan RM100 produk kraf tempatan.

"Misalnya untuk pembeliaan produk kraf RM200, pengguna hanya perlu membayar sebanyak RM140 sahaja setelah ditolak rebat sebanyak RM60," jelasnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!