KDAFC masih belum selamat
BIARPUN Kedah Darul Aman FC (KDAFC) memperolehi enam mata percuma susulan Negeri Sembilan FC mengumumkan menarik diri daripada saingan TM Piala Malaysia 2021, ia dilihat masih belum cukup untuk memastikan skuad Pulun Kedah Pulun itu selamat untuk mara ke suku akhir.
Menurut kapten KDAFC, Baddrol Bakhtiar, kekalahan kepada pendahulu Melaka United FC (MUFC) pada aksi kedua Kumpulan C, di Stadium Darul Aman bulan lalu membuktikan apa sahaja boleh berlaku pada baki dua perlawanan nanti.
“Sebenarnya perjalanan ke suku akhir saya boleh katakan masih samar sebab yang penting kita perlu menang dengan Kelantan United, selepas itu baru kita akan nampak macam mana perjalanan seterusnya untuk layak.
“Memanglah enam mata yang diberikan itu satu bonus buat kami sebab kami memang perlukan kemenangan ini setelah tewas kepada Melaka tempoh hari, dan kali ini dengan penarikan diri Negeri Sembilan memberi sedikit kelegaan kepada pasukan.
“Cuma ia tetap tidak akan menjamin apa-apa kerana masih ada dua perlawanan yang perlu kami harungi. Dengan tempoh rehat yang agak panjang ini, pasti momentum akan ‘lari’ sedikit dan oleh itu kena sentiasa tingkatkan prestasi dalam latihan,” katanya.
Berdasarkan jadual, KDAFC dijadualkan berdepan Kelantan United FC pada 6 November diikuti MUFC (9 November) bagi melengkapkan jadual Kumpulan C.
Untuk rekod, Negeri Sembilan FC membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan TM Piala Malaysia 2021 setelah pegawai serta pemain skuad Jang itu disahkan positif Covid-19.
Susulan itu, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata berharga kepada mana-mana pasukan yang berdepan Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan C selepas ini.
Baddrol bagaimanapun tetap bersimpati dengan situasi yang menimpa skuad Hoben Jang Hoben itu dan berharap mereka yang dijangkiti wabak itu akan segera sembuh.
Sementara itu, Baddrol berkata, setakat ini persiapan KDAFC berjalan lancar dan momentum pasukan dilihat bertambah baik setelah mengharungi tiga aksi persahabatan setakat ini.
Katanya, skuad Hijau Kuning itu kini hanya menunggu untuk mengharungi satu lagi aksi persahabatan sebelum berdepan Kelantan United FC, 6 November kelak.
“Walaupun dah rehat panjang, pada awalnya risau juga takut momentum kami terbantut, tetapi saya boleh katakan kami semua dapat rasa suasana perlawanan sebenar selepas menentang beberapa pasukan dalam aksi persahabatan sebelum ini.
“Cuma saya harap kami semua dapat mengekalkan momentum ini dan akan memberikan persembahan baik dalam dua perlawanan penting pada bulan hadapan”, katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!