Pencarian pemenang wang tunai RM30,000 makin hampir
SHAH ALAM - Pencarian pemenang wang tunai berjumlah RM30,000 Peraduan Kumpul dan Menang Sinar 15 semakin hampir apabila sesi penjurian diadakan di Auditorium Karangkraf, di sini pada Selasa.
Sesi penjurian tersebut diadili empat orang panel iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin, Ketua Pengarang Grup Sinar Harian, Rozaid Rahman, pengacara serta penerbit TV3, Ahmad Fedtri Yahya dan penyanyi, Fazli Zainal.
Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, walaupun peraduan kali ini agak mencabar susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun sambutan dari segi penyertaan masih lagi memberangsangkan.
“Kalau dibandingkan dengan tahun lepas, tahun ini kami faham pembaca mengalami sedikit kesukaran disebabkan PKP dan pelbagai kekangan lain sepanjang pandemik Covid-19.
“Tapi kami terharu dengan sambutan diberikan walaupun dengan segala kekangan tersebut, pembaca setia Sinar Harian tetap bertungkus lumus dan bersemangat menyertai peraduan tahun ini.
“Kali ini kami menerima lebih kurang 20,000 penyertaan daripada pembaca seluruh negara dan menariknya banyak penyertaan telah dihantar bagi kategori kreatif,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, pengumuman pemenang bagi peraduan tersebut akan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada 2 November selama satu jam bermula 8.30 malam.
“Menariknya, acara tersebut bakal dimeriahkan dengan kehadiran dua orang penyanyi terkemuka tanah air yang akan membuat persembahan secara maya,” tambahnya.
Sementara itu, Ahmad Fedtri mengakui berasa kagum dengan semangat para peserta yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk memberikan hasil produk yang memberangsangkan.
“Saya memang sangat menghargai bab kreativiti sebab kalau kita nak buat perkara yang mudah pun bukan senang. Tapi jika seseorang sanggup luangkan masa, tenaga dan wang ringgit, saya memang kagum. Yang penting bukan hasil, tapi perjalanannya.
“Bab slogan pula, saya lihat para peserta sangat matang dan bukan tahap orang biasa. Mereka ini berpelajaran kerana pandai memilih perkataan yang sesuai. Paling penting saya suka melihat masyarakat yang berkarya dan berkreativiti,” tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!