Al-Quran sumber semua cabang ilmu pengetahuan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - Al-Quran merupakan sumber intelektual dan spiritual Islam yang merupakan asas bukan hanya bagi agama dan kerohanian semata-mata, tetapi juga semua cabang ilmu pengetahuan termasuk teknologi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, al-Quran menganjur dan mendorong umat Islam agar menuntut ilmu, mempelajari, menganalisis serta menggunakan akal yang dikurniakan ALLAH untuk dimanfaatkan.

Menurut Ismail Sabri, al-Quran merupakan wahyu ALLAH yang diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil, manakala teknologi pula adalah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan manusia.

"Gabungan al-Quran dan teknologi dapat memperkuat dan memperjelas sesuatu fakta hujahnya dengan merujuk kepada hadis Nabi, mazhab-mazhab, para sarjana, saintis Islam dan bukan Islam.

"Perhubungan teknologi dan agama dipandang sebagai perhubungan roh dan jasad. Teknologi dan agama saling menyempurnakan antara satu sama lain," katanya pada majlis penutup Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan (MTQJK) pada Selasa.

Beliau berkata, penganjuran MTQJK itu menunjukkan bagaimana teknologi dapat digunakan ke arah kebajikan seiring dengan prinsip Islam.

MTQJK itu menyaksikan teknologi menghubungkan 26 orang qari dan qariah yang pernah menjadi johan tilawah kebangsaan bersiaran secara langsung dari 11 lokasi dengan boleh disaksikan menerusi pelbagai capaian media.

"Alunan ayat-ayat al-Quran dan ibrah huraian ayat pula dipancarkan kepada penonton menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR) yang menunjukkan Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada memaksimumkan penggunaan teknologi dalam kehidupan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penularan wabak Covid-19 turut mengubah cara hidup Keluarga Malaysia kepada normal baharu termasuklah dalam aspek pengajaran dan pembacaan al-Quran.

Seiring dengan teknologi dan keperluan umat Islam moden, Ismail Sabri menjelaskan, al-Quran kini disediakan dalam pelbagai produk digital dan aplikasi perisian.

"Saya difahamkan sejak penularan wabak Covid-19, pembelajaran al-Quran secara dalam talian semakin mendapat tempat.

"Banyak institusi sama ada kerajaan atau swasta telah memperkenalkan kelas-kelas pembelajaran al-Quran seperti tajwid, talaqqi, taranum dan hafazan secara dalam talian. Usaha murni tersebut memudahkan masyarakat untuk mempelajari ilmu membaca al-Quran," katanya.

MTQJK anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diadakan selama lima hari sejak Jumaat lepas yang menampilkan seramai 26 qari dan qariah johan tilawah kebangsaan dan jemputan khas yang mewakili semua negeri, dengan mempersembahkan bacaan al-Quran secara bertaranum.

Pada malam ini, qari Tan Sri Syeikh Ismail Mohamad dari Terengganu dan Datuk Ahmad Faizul Ghazali Al-Hafiz (Pahang) serta qariah Amnah Ayup (Sarawak) dan Nor Farhatul Fairuzah Panut dari Negeri Sembilan, mempersembahkan bacaan al-Quran.

Majlis yang diacarakan oleh Amin Idris dan Irma Hasmie turut menyaksikan Jakim membuat inovasi persembahan tadabbur dengan teknik kesan visual AR.

MTQJK julung kali diadakan itu merupakan alternatif kepada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2021M yang ditangguhkan berikutan situasi pandemik Covid-19 dan disiarkan secara langsung di TV1 serta TV OKEY. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!