Pemergian Guan Dee kehilangan besar kepada Sabah
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan pemergian Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi sebagai satu kehilangan besar dalam arena politik negara khususnya di Sabah.
Beliau berkata, berita pemergian mendiang sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat dan Sabah amat mengejutkan.
"Kami turut berkongsi rasa sedih apabila menerima perkhabaran ini dan bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan ucapan takziah kepada seisi keluarga mendiang. Semoga tabah menghadapi ujian ini.
"Pemergian mendiang merupakan suatu kehilangan yang besar buat dunia politik khususnya di negeri Sabah. Segala jasa dan pengorbanannya telah menyumbang kepada pembangunan rakyat dan negeri Sabah akan sentiasa dikenang dan terpahat dalam ingatan kita," kata beliau menerusi hantaran di Facebook rasminya pada malam Selasa.
Tambah beliau, semangat yang ada pada bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan Sabah pasti akan diwarisi dan dikenang selamanya.
Sebelum itu, Guan Dee, 67, dilaporkan meninggal dunia pada jam 4.45 petang Selasa di Hospital Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!