Masa untuk perkenal kempen cara baharu

Sudah tiba masanya budaya berkempen cara baharu diperkenalkan dengan ia mesti mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. - Foto fail Bernama
Sudah tiba masanya budaya berkempen cara baharu diperkenalkan dengan ia mesti mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. - Foto fail Bernama
A
A
A

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kian terasa terutama menjelang penamaan calon pada 8 November ini.

Tidak seperti sebelum ini, sama ada pilihan raya umum, kecil atau negeri, PRN Melaka akan diadakan tanpa sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial termasuklah penganjuran ceramah yang menjadi acara wajib bagi parti atau calon yang bertanding.

Kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Ahad itu mengejutkan jentera parti yang sebelum ini sudah bersedia untuk ‘masuk gear satu’.

Masakan tidak, itulah medan yang akan menjadi pengukur sejauh mana strategi gerak gempur, jentera serta pelbagai cabang petugas parti bersedia untuk berdepan PRN susulan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka (DUN) pada 4 Oktober lalu.

Rata-rata komen pemimpin parti terutama UMNO seolah-olah tidak berpuas hati dengan kenyataan Ahli Parlimen Rembau itu yang dianggap ‘membunuh selera’ parti tersebut yang yakin boleh menang kali ini.

Di sebalik isu kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang hangat diperkatakan, mereka menganggap ia sebagai berat sebelah dan memihak kepada parti lawan walaupun jika diamati secara umum, ia bagi mengelakkan apa yang berlaku di Sabah sebelum ini berulang lagi, jangkitan Covid-19 yang mencanak akibat aktiviti pilihan raya.

Penulis ingin membawa perhatian pembaca begini. Pertamanya, kita sudah ada contoh apa yang berlaku sebelum ini di Sabah misalnya.

Kedua, prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan antaranya penjarakan sosial, elakkan tempat sesak dan sempit itu juga boleh dilihat tepat dalam konteks kenyataan menteri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kita tidak mahu seluruh negara merana dengan jangkitan yang dibawa balik dari suatu tempat ekoran adanya perhimpunan beramai-ramai dan dalam kes ini PRN Melaka adalah contoh terbaik.

Penulis bersetuju dengan kenyataan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar bahawa budaya berkempen pilihan raya di Malaysia sudah patut berubah.

Bercakap kepada Sinar Harian pada Isnin, Wan Ahmad berkata, mentaliti parti politik mahu mempamerkan kekuatan masing-masing melalui jentera pilihan raya mana paling kuat serta poster pilihan raya paling banyak sudah tidak relevan.

“Banyak lagi cara parti politik boleh gunakan untuk berkempen tanpa perlu merisikokan keselamatan pengundi.

“Sebagai contoh, saya menganggap platform kempen menggunakan media sosial sebenarnya lebih berkesan digunakan pada masa kini.

“Sudah tiba masanya budaya berkempen cara baharu diperkenalkan dengan ia mesti mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata beliau.

Transformasi

Oleh yang demikian, larangan ditetapkan KKM yang berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November itu adalah tepat kerana KKM bercakap dari sudut kesihatan.

Semua parti politik perlu bersikap terbuka menerimanya dengan tidak mempertikaikan larangan tersebut.

Dengan situasi pandemik Covid-19 kini, sudah tiba masanya Malaysia melakukan transformasi dalam kempen pilihan raya.

Perubahan ini, biarpun bermula di Melaka, akan menjadi agenda nasional yang akan membuka satu lembaran baharu dalam sejarah pilihan raya negara khususnya untuk generasi akan datang.

Setelah sekian lama kita cuba membiasakan diri dengan SOP dan norma baharu, mengapa kita perlu menggadaikan segalanya untuk memberi laluan kepada petugas politik seluruh negara berbondong-bondong ke Melaka sedangkan tanggungjawab itu boleh dijalankan petugas di peringkat negeri.

Sudah sampai masanya kita buat sesuatu mengikut keperluan, pengundi sudah pun membuat ketetapan, proses pengundian perlu dijalankan mengikut lunas perlembagaan agar segalanya berjalan lancar.

Tanpa aktiviti parti pun, kerja kena jalan, kerajaan negeri Melaka yang baharu tetap akan dibentuk sebaik pengundian selesai 20 November depan.

Selamat berkempen ikut norma baharu!

* Nurhafiza Hasan ialah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!