Presiden baharu Mexico ikrar transformasi negara
MEXICO CITY - MEXICO. Pemimpin haluan kiri, Andres Manuel Lopez Obrador berikrar melakukan transformasi radikal sebaik mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Mexico, sekali gus membuka laluan tidak pasti buat negaranya yang berhubung rapat dengan Amerika Syarikat (AS) daripada segi ekonomi dan keselamatan.
Andrés Manuel López Obrador, 65, atau lebih mesra dipanggil Amlo, mengangkat sumpah semalam di hadapan Kongres sebagai presiden haluan kiri pertama sejak Mexico bertukar daripada pemerintahan autoritarian kepada demokrasi penuh pada tahun 2000.
Beliau juga dianggap antara presiden Mexico paling berkuasa dalam tempoh beberapa dekad, susulan kemenangan besar dalam pilihan raya tiga penjuru pada 1Julai lalu dengan 53 peratus undian rakyat, dan parti Morena pimpinannya turut menguasai majoriti kedua-dua dewan Kongres.
Antara pemimpin dunia yang hadir memeriahkan majlis pelantikan itu termasuk, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, Raja Sepanyol, Felipe VI, Naib Presiden AS, Mike Pence dan anak perempuan Presiden Donald Trump yang juga penasihat Rumah Putih, Ivanka Trump.
Pelantikan Amlo sekali gus menamatkan pemerintahan 89 tahun parti yang sama, dan beliau berjanji untuk menangani beberapa isu yang semakin kritikal, antaranya, jenayah, kemiskinan dan rasuah, disamping membantu golongan miskin.
“Mungkin ia kedengaran agak keterlaluan tetapi hari ini adalah satu permulaan untuk kerajaan baharu. Ia adalah permulaan pertukaran rejim politik.
“Kami akan memastikan keamanan dan perubahan secara mendalam serta radikal. Saya menegaskan tidak akan berbohong, merompak atau mengkhianati rakyat Mexico,” katanya.
Sebagai presiden baharu, Amlo mewarisi kerajaan yang bermasalah daripada pemimpin terdahulu, Enrique Pena Nieto.
Bagaimanapun, ia tidak menghalang beliau menggandakan janjinya untuk melakukan transformasi sebaik sahaja memulakan enam tahun penggal pentadbiran. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!