Bomoh didakwa rogol pesakit ketika rawatan
PASIR MAS - Seorang pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan merogol seorang wanita semasa melakukan rawatan di Tendong, Pasir Mas pada 14 Oktober lalu.
Tertuduh Jusoh Jaafar, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozaidi Yaacob.
Mengikut pertuduhan, Jusoh didakwa merogol seorang wanita yang berusia 23 tahun yang mana kerelaannya didapati dengan menggunakan kedudukan sebagai pengamal perubatan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bilik di Kampung Perangkap, Bunut Susu di sini pada jam 3 petang.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama 10 hingga 30 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam bela, Nur Fatin Syahirah Abu Hasan.
Rozaidi kemudian menetapkan Khamis sebagai sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen.
Sinar Harian pada 17 Oktober lalu melaporkan seorang pengamal perubatan tradisional yang dikenali sebagai Ayah Su memperdayakan mangsa yang mengalami masalah gangguan makhluk halus dengan cara menyentuh kemaluan mangsa sebelum melakukan persetubuhan ketika proses rawatan.
Kaedah rawatan 'keji' itu terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!